Wednesday, December 25, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Daerah Brunei dan Muara sembah taat setia

    Oleh Sim Y. H –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Cuaca yang indah dan cerah pada pagi hari di Bandar Seri Begawan bagai mengundang segenap lapisan masyarakat untuk sama-sama berkunjung dan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei dan Muara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-77.

    Setelah majlis serupa diadakan di tiga buah daerah yang lain iaitu Daerah Belait, Tutong dan Temburong, kini tiba giliran Daerah Brunei dan Muara sebagai daerah terakhir dan penutup tirai bagi majlis yang amat dinanti-nantikan oleh segenap lapisan masyarakat untuk sama-sama meraikan majlis yang penuh gilang-gemilang bersama raja tercinta dan berjiwa rakyat.

    Wajah-wajah ceria dan senyuman manis ‘menerangi’ perkarangan Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien yang menanti dari awal pagi lagi bukan sahaja untuk menatap wajah tetapi bagi menjunjung kasih kehadapan raja dan pemimpin yang disanjung tinggi serta dikasihi.

    Berangkat sama ke majlis itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah.

    Keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.

    Sejurus keberangkatan tiba, lagu kebangsaan Allah Peliharakan Sultan dikumandangkan dengan diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei, diikuti dengan persembahan khas daripada gabungan penyertaan seramai lebih 400 orang terdiri daripada belia-belia yang aktif di Negara Brunei Darussalam. Persembahan turut menggabungkan peserta sekolah rendah dan menengah itu diserikan dengan warna-warni membawa tema, Raja Pengasih Rakyat Bahagia.

    Baginda berserta kerabat diraja kemudian dijunjung berangkat bagi menerima junjung ziarah ahli-ahli jawatankuasa tadbir tertinggi, jawatankuasa-jawatankuasa perayaan, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung, para peserta persembahan padang, dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan serta rakyat dan penduduk Daerah Brunei dan Muara.

    Majlis ramah mesra dan junjung ziarah itu amat dinanti-nantikan bukan sahaja oleh pelbagai lapisan masyarakat di daerah ini tetapi juga seluruh rakyat amnya untuk mendekatkan diri kepada Baginda Sultan serta kerabat diraja. Ia memberi peluang berinteraksi serta berbual mesra, yang jelas menunjukkan sikap pemedulian Baginda kepada rakyat serta kasih dan kesetiaan rakyat kepada Baginda.

    Baginda Sultan berserta kerabat diraja kemudian dijunjung berangkat bagi Majlis Santap di Dewan Persantapan Lapau, Bandar Seri Begawan.

    Rakyat dan penduduk Daerah Brunei dan Muara mempamerkan taat setia tak berbelah-bahagi kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada majlis ramah mesra dan junjung ziarah bagi daerah itu sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-77 di ibu negara. – Gambar oleh Muiz Matdani
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah semasa berkenan berangkat ke majlis tersebut. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan memotong kek hari keputeraan. – Gambar oleh Muiz Matdani
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan bergambar ramai bersama peserta acara pentas semasa Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei dan Muara. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Gambar oleh Muiz Matdani
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan beramah mesra bersama rakyat dan penduduk Daerah Brunei dan Muara. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan dijunjung bergambar ramai semasa majlis ramah mesra tersebut. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Gambar oleh Muiz Matdani
    Gambar oleh Muiz Matdani
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan beramah mesra dengan rakyat dan penduduk semasa majlis tersebut. – Gambar oleh Muiz Matdani

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda