Tuesday, March 5, 2024
30.5 C
Brunei

    -

    Dahulu jurutera dan juruterbang kini bergelar usahawan tani

    NILAI – “Berbudi pada tanah lambat laun akan dapat hasilnya”. Ungkapan itu sesuai digambarkan mengenai usaha dua anak muda yang memilih untuk bersara awal daripada berkhidmat di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan beralih ke bidang pertanian sejak tiga tahun lepas.

    Mejar (B) Mohd Farid Daud, 37, berkata pengalaman dan kepakaran dalam bidang kejuruteraan penerbangan selama 10 tahun tidak disia-siakan sebaliknya dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membangunkan ladang integrasi tanaman dan ternakan di Labu Hilir dekat sini.

    Malah, ladang seluas 15 ekar di bawah syarikat Temin Legacy Sdn Bhd yang dimiliki bersama Mohd Farid, rakannya Kapten (B) Ahmad Haziq Mat Hasan, 37, serta abang Farid, Mohd Affendy Daud, 43, mampu mengeluarkan hasil tanaman pertanian dan makanan sehingga 200 tan setahun dengan potensi pulangan minimum RM600,000.

    “Kita bermula pada 2022 menggunakan modal sebanyak RM100,000… antara tanaman dan ternakan yang ada termasuk pisang, tebu, labu manis, rumput napier, ayam kampung, dan ikan keli dengan kebanyakan benih pada peringkat permulaan dibeli daripada pembekal dari Banting, Selangor.

    “Hasil pertanian itu kemudian kita pasarkan ke Pasar Borong Selayang, Bandar Baru Bangi serta Seremban selain ada pemborong datang ke ladang kita untuk mendapatkannya,” katanya ketika ditemui di ladang berkenaan di sini.

    Mejar (B) Mohd Farid Daud (tengah) melihat dron udara (UAV) dan darat (UGV) yang digunakan bagi meracun dan membaja di ladang integrasi moden di Labu Hilir, Nilai. – Bernama
    Mejar (B) Mohd Farid Daud ketika ditemu bual. – Bernama
    Kelihatan dron darat (UGV) digunakan bagi meracun dan membaja tanaman. – Bernama
    Kelihatan dron udara (UAV) digunakan bagi meracun dan membaja tanaman yang terdapat di ladang integrasi moden. – Bernama

    Anak kelahiran Pahang itu berkata penglibatan dalam sektor usahawan tani juga berikutan ia mempunyai potensi besar untuk terus berkembang pada masa akan datang selain menyambung legasi keluarga dalam bidang pertanian.

    “Keluarga saya ada usahakan beberapa tanaman termasuk nurseri di Jerantut, jadi ‘darah’ itu mengalir dalam diri saya. Sebelum ini pun kami pernah usahakan ladang tanaman seluas 100 ekar di sana, tapi sejak berpindah ke Bangi, saya buat keputusan buka ladang di Negeri Sembilan,” katanya.

    Dalam pada itu, ditanya mengenai penjagaan ta-namannya, beliau berkata rutin merumput, membaja dan meracun akan dilakukan secara berkala mengikut penggiliran plot dan perlu mematuhi jadual tersebut bagi memastikan tanaman berada dalam keadaan baik.

    Mengakui pernah berdepan kerugian hampir RM400,000 berikutan faktor ancaman haiwan perosak dan liar yang merosakkan tanaman, namun beliau ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berbakti kepada tanah sekali gus membantu menjamin sekuriti makanan negara.

    Mengenai perancangan masa hadapan, Mohd Farid berkata pihaknya sedang mengintai peluang mengembangkan projek pertanian itu dalam skala lebih besar antara 100 ke 300 ekar secara berperingkat sekali gus mengaplikasikan penggunaan dron untuk proses tanaman itu.

    “Untuk projek berskala besar, kita akan gunakan teknologi dron kerana ia lebih praktikal dan menjimatkan masa. Ketika ini, kita juga dalam proses mencari pelabur yang berminat untuk projek pertanian berkenaan yang dijangka diusahakan di Pahang.

    “Kita turut menyasarkan untuk memasarkan produk hiliran daripada hasil pertanian ini ke pasaran tempatan dan antarabangsa seperti China dan Amerika Syarikat dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

    Sementara itu, Ahmad Haziq yang juga bekas juruterbang TUDM Subang itu berkata keputusan menceburi bidang itu berikutan melihat potensi besar yang masih boleh diterokai melalui pertanian memandangkan pasaran tempatan dilihat terbuka luas.

    Selain itu, beliau berkata penglibatan anak muda sebagai pelapis sangat penting kerana mereka mempunyai kekuatan fizikal dan mental untuk menjayakan industri pertanian sekali gus memastikan kelangsungan hasil makanan dalam negara.

    Ahmad Haziq berkata golongan itu perlu mengubah persepsi bahawa pekerjaan tersebut hanya sebagai batu loncatan sebelum mendapat pekerjaan lain atau lebih sesuai untuk golongan veteran atau orang di kampung.

    “Tak ramai pemegang ijazah berminat ceburkan diri dalam pertanian, walhal pengetahuan mereka sangat diperlukan termasuk menyesuaikan diri dengan teknologi moden seperti Internet Benda (IoT) dan kaedah pertanian terkini dengan cepat,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    24 nelayan diselamatkan di laut berombak kuat, 1 ditemui mati

    TOKYO, 5 MAC - Sebuah helikopter pengawal pantai Jepun menyelamatkan 24 nelayan ketika mereka bermati-matian berpaut pada geladak sebuah kapal yang condong, separuh tenggelam...