Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Daler Yusuf kongsi pengalaman urus isteri

    Pelakon Daler Yusuf berdepan cabaran apabila kali pertama menguruskan isterinya berpantang meskipun ini merupakan anak damit keempat mereka.

    Memetik laporan mStar, Daler atau Daler Yusuf Khamrokuluv, 32, berkata, sebelum ini, tiga kelahiran anaknya diuruskan oleh keluarga mertua di Uzbekistan memandangkan isterinya bersalin di sana.

    “Ini kali pertama Isteri saya berpantang di Malaysia, kali pertama juga saya uruskan dia berpantang seorang diri.

    “Agak kelam kabut juga sebab semuanya perlu diuruskan sendiri… Sebelum ini mudah sikit sebab ibu dan nenek isteri tolong menjaganya sepanjang tempoh berpantang,” katanya kepada mStar.

    Isteri Daler iaitu Sakinah Burikul selamat melahirkan anak damit lelaki pada 20 Mac lalu.

    Dalam pada itu, Daler memberitahu bagi memudahkan urusan beliau mengupah bidan bagi menjaga isterinya ketika berpantang di rumah.

    “Saya dapatkan bantuan dari perkhidmatan penjagaan berpantang untuk ibu bersalin dan Alhamdulillah, isteri saya sekarang baik sahaja,” katanya.

    Berkongsi mengenai kaedah berpantang yang diamalkan, Daler memberitahu isterinya kini berpantang kaedah Melayu.

    Jelasnya, cara berpantang mengikut tradisi Melayu tidak banyak perbezaan berbanding cara Uzbekistan.

    Namun, Daler menjelaskan isterinya mengamalkan kaedah berurut atau tuam setiap hari meskipun kaedah ini tidak dipraktikkan di negara asalnya.

    “Cara kami hampir sama dengan cara Melayu di mana wanita berpantang selama 40 hari.

    “Isteri saya tak boleh makan makanan keras tetapi banyak mengambil hidangan seperti sup bagi memudahkan proses pencernaan selain dilarang berembun.

    “Kami disana tiada berurut atau tuam, tetapi isteri saya dijaga oleh orang yang arif, maka setiap hari isteri saya akan diurut di seluruh badan kecuali bahagian perut.

    “Perut tidak boleh diurut kerana isteri saya bersalin secara pembedahan,” katanya.

    Terdahulu, pelakon kacukan Uzbekistan itu memaklumkan isterinya, Sakinah Burikul terpaksa bersalin secara caesaeran kecemasan akibat kedudukan anak damit songsang.

    Untuk rekod, Daler dan Sakinah berkahwin sejak 10 tahun lalu dan hanya mendedahkan ikatan mereka kepada umum awal tahun ini. – Agensi

    Daler terpaksa mendapatkan khidmat bantuan untuk memudahkan proses berpantang isterinya. – mStar
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...