Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Junjung ziarah Aidilfitri cerminan kasih raja kepada rakyat

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    Istana Nurul Iman, seperti tahun-tahun sebelumnya, sekali lagi membukakan pintunya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, menjemput para pembesar negara, orang-orang kenamaan serta diplomat dan VVIP di negara ini bagi menghadiri Majlis Mengadap dan Junjung Ziarah, di mana acara yang diadakan dengan penuh kemeriahan itu merupakan simbolik kemenangan umat Islam selepas sebulan berpuasa.

    Mereka yang diberikan peluang untuk menyertai majlis itu di istana bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha dan kerabat diraja, pasti merasakan detik-detik kenangan yang tidak ternilai.

    Setiap tetamu yang menghadiri majlis ini, tanpa terkecuali, melahirkan rasa menjunjung kasih dan penghargaan yang mendalam terhadap penerimaan hangat daripada keluarga diraja. Suasana muhibah dan kasih sayang yang disemai antara kerabat diraja dan rakyat serta penduduk di negara ini, diharapkan dapat terus bertambah erat dari semasa ke semasa, sejajar dengan usaha bersama dalam menegakkan dan menjunjung tinggi amanah serta tanggungjawab dalam memelihara agama, bangsa, dan negara.

    Kegembiraan dan semangat persaudaraan yang dibina melalui acara seperti ini membuktikan pentingnya memelihara hubungan baik antara pemimpin dan rakyatnya, demi mencapai keharmonian dan kemakmuran bersama. Kegiatan itu tidak hanya sebagai tradisi, tetapi juga sebagai peluang bagi setiap peserta untuk memperbaharui komitmen mereka dalam memajukan negara dan umat.

    PENGALAMAN PERTAMA BEGITU INDAH

    Berkesempatan ditemui Media Permata, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Sosialis Vietnam ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Tran Anh Vu semasa ditemui pada majlis berkenaan turut mengongsikan bahawa ia adalah kunjungan yang pertama kalinya bagi sama-sama meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri sejak berada di negara ini, di mana peluang tersebut dimanfaatkan untuk mengadap dan menjunjung ziarah serta menyembahkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kehadapan majlis Baginda Sultan.

    Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bersama isteri semasa ditemui turut merafakkan rasa syukur kerana dapat merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri di Istana Nurul Iman. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Awang Abdul Aziz semasa berkesempatan ditemui pihak Media Permata. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Sosialis Vietnam ke Negara Brunei Darussalam, TYT Tran Anh Vu juga antara yang hadir pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    “Begitu istimewa peluang ini apabila berpeluang untuk bersua muka dengan Baginda Sultan dan kerabat diraja lebih-lebih dalam sama-sama meraikan salah satu perayaan terbesar di Negara Brunei Darussalam”. Tambahan lagi, “Majlis sebegini juga membawa pengalaman yang sangat berharga di mana saya dapat lebih mempelajari nilai-nilai kebudayaan di Negara Brunei Darussalam,” ujar Tuan Yang Terutama.

    Beliau menyatakan bahawa merasai sendiri budaya tradisi yang cukup istimewa ini memberikannya rasa bertuah dan berbangga kerana detik pengalaman ini juga dirasai sebagai salah satu persamaan yang dimiliki antara kedua buah negara antara Brunei dan Vietnam di mana setiap meraikan tahun baharu pastinya melibatkan perkumpulan ahli keluarga dan sahabat-handai terdekat.

    Pada kesempatan yang sama, TYT Tran Anh Vu turut tidak lupa mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh penduduk dan rakyat di negara ini yang meraikannya.

    SEMARAK TRADISI ZIARAH-MENZIARAHI

    Di dalam suasana meriah yang mengiringi sambutan Hari Raya Aidilfitri di Istana Nurul Iman, tidak hanya menjadi simbol kegembiraan tetapi juga sebagai arena penghormatan dan pengukuhan jalinan silaturahim antara raja dan rakyat.

    Antara yang turut menghadiri Majlis Mengadap dan Junjung Ziarah Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di Istana Nurul Iman ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN).

    Berkesempatan ditemui pihak Media Permata, Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan mengongsikan kesyukuran kerana berpeluang menghadiri majlis yang cukup bermakna tersebut.

    “Alhamdulillah dengan adanya majlis seumpama ini, ia sememangnya memcerminkan lagi betapa Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja yang lain terus melakar hubungan silaturahim dalam meniti mewarnai keindahan Syawal bersama rakyat dan penduduk yang menetap di negara ini yang pastinya salah satu tradisi yang amat dinanti-nantikan saban tahun,” luahnya.

    Selaku Ketua Kampung Sengkarai, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz turut menambah betapa pentingnya jalinan ziarah-menziarahi ini terus dipupuk dalam kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat.

    “Tidak salah mengadakan amalan berkunjung ke rumah-rumah sahabat handai mahupun mereka yang mempunyai ikatan kekeluargaan mahupun persahabatan walaupun berbeza agama. Jiwa bersulam kasih sayang sesama masyarakat inilah yang perlu kita semai dalam kehidupan sehari-hari bukan hanya di saat hari-hari keramaian sebegini.

    “Dengan adanya amalan sebegini, ia akan lebih menyatupadukan lagi masyarakat di negara ini dengan nilai-nilai keBruneian kita namun pastinya perlulah berlandaskan syariat-syariat Islam,” ujarnya lagi.

    SEMAI JIWA SILATURAHIM

    Sementara itu, Ahli MMN, Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin bersama isteri semasa ditemui Media Permata turut merafakkan rasa syukur kerana dapat merayakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Istana Nurul Iman bersama KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja yang lain.

    Jelasnya, keakraban antara raja dan rakyat serta penduduk di negara suatu hal yang tidak dapat disangkal lagi, itulah uniknya Negara Brunei Darussalam yang penuh dengan nilai-nilai tradisi.

    “Melihat dari segi tradisi, negara kita memang mempunyai tradisi yang sangat unik dan perlu dipertahankan untuk selama-lamanya agar ia sentiasa terpelihara. Salah satunya ialah betapa pentingnya jiwa silaturahim disemai bermula dari institusi kekeluargaan. Ini kerana untuk kita membangun negara perlunya bermula dari rumah atau keluarga, jiran tetangga, kampung, daerah, mukim, sehingga negara. Dengan kata lain, kekuatan negara juga tertakluk kepada kekuatan kekeluargaan,” tekannya.

    Sebelum menutup kata-kata, Yang Berhormat turut menambah bahawa dalam kita meraikan hari kemenangan ini, semangat untuk terus bangkit membangun negara yang kita cintai ini perlu terus diperkasa dari semasa ke semasa di mana beliau tekad menanai dan menggenggam cita-cita untuk terus menyahut seruan kerajaan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam sama-sama membantu memajukan negara dari ekonomi khususnya penternakan ayam dan pertanian-pertanian lain.

    “Fokus utama juga ditekankan kepada golongan belia kita untuk berjinak-jinak dalam bidang ini dalam sama-sama meningkatkan produktiviti dan menjana food security negara kita dari semasa ke semasa,” ujarnya penuh harapan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...