Tuesday, March 18, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dari kerusi roda ke pusingan ketiga Wimbledon

    LONDON, 2 JULAI – Empat minggu lalu, dia memerlukan kerusi roda untuk keluar daripada gelanggang di Terbuka Perancis.

    Tiga minggu lalu, dia menjalani pembedahan untuk memperbaiki kecederaan pada lutut kanannya.

    Tetapi kelmarin, Taylor Fritz, 23, dari Amerika Syarikat menyangkal logik perubatan apabila mara ke pusingan ketiga Wimbledon.

    “Saya sangat positif dan ini adalah proses paling cepat bagi sesiapa saja yang kembali bersaing di bidang profesional selepas pembedahan,” kata Fritz selepas menyingkirkan rakan senegara Steve Johnson 6-4, 7-6 (7/4), 4-6, 6-7 (4/7), 6-4.

    Fritz, pemain nombor 40 dunia bergelut dengan kecederaan yang dialami ketika tewas pada pusingan kedua di Roland Garros.

    “Saya cuba untuk berdiri tapi tidak boleh. Saya melihat pasukan saya dan berkata, kawan-kawan saya tidak boleh berdiri lama,” jelasnya.

    Dia dimaklumkan bahawa proses pemulihan mungkin akan memakan masa empat atau enam minggu namun pakar bedahnya di California mempunyai berita baik.

    Tiada kecederaan serius pada lutut kanannya dan ia membolehkannya kembali beraksi lebih cepat.

    Fritz telah bermain sembilan set tenis dalam 26 jam untuk sampai ke 32 akhir di mana dia akan berhadapan dengan pemain nombor enam dunia Jerman, Alexander Zverev. – AFP

    Aksi Taylor Fritz dari AS menentang Steve Johnson semasa pertandingan pusingan kedua Kejohanan Tenis Wimbledon di London, semalam. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda