Thursday, February 6, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Daripada anak peneroka kepada cef pastri Paris

    MALAYSIA – Ketika dewasa, Farid Tawfik mempunyai sumber atau wang yang tidak banyak. Seorang anak peneroka Felda, dia dibesarkan di sebuah rumah satu bilik di Johor yang dikongsi bersama ibu bapa dan lima adik-beradiknya.

    Semasa kecil, dia kadang-kadang menemani bapanya ke ladang kelapa sawit untuk membantu kerja-kerja yang menjerihkan. Selalunya, dia juga akan datang ke hospital tempat ibunya bekerja sebagai tukang cuci kerana dia sangat merinduinya.

    “Walaupun saya tidak sakit, saya sengaja pergi ke hospital kerana saya mahu berjumpa ibu saya!” kata Farid.

    Farid tahu kerana keluarganya mempunyai sedikit wang, dia terpaksa bekerja lebih keras untuk bersaing dengan rakan sebayanya.

    “Saya tahu ibu bapa saya hidup susah, jadi saya fikir itulah yang menjadikan saya lebih kuat sebagai seorang insan,” tegasnya.

    Rosa (kiri) dan Farid telah menggabungkan minat mereka dengan latar belakang sains untuk mencipta pastri ala Paris. – Gambar ANN/The Star
    Tart beri campur adalah paling laris di kedai itu yang menampilkan raspberi dan beri hitam. – Gambar ANN/The Star
    Tart lemon. – Gambar ANN/The Star
    Makaron adalah keistimewaan di kedai itu, yang terbaik mungkin di Lembah Klang. – Gambar ANN/The Star
    Kedai itu menghuni ruang kecil tetapi amat selesa dan unik. – Gambar ANN/The Star
    Gambar ANN/The Star

    Selepas tamat SPM, beliau menerima banyak tawaran biasiswa dan akhirnya melanjutkan pelajaran di Sydney, Australia, di mana beliau menamatkan ijazah dalam sains perubatan.

    Ketika berada di Australia juga, minat Farid dalam bidang memasak mula berkembang, apabila dia membekalkan kuih masakan sendiri ke kafe tempatan.

    “Saya mula memasak sejak berusia sembilan tahun, kerana saya perlu berdikari sejak kecil. Saya masih ingat hidangan pertama yang saya buat ialah nasi goreng, yang sebenarnya saya masak di rumah jiran saya ketika dia tiada. Ibu saya sangat marah apabila dia mengetahui saya melakukannya!” ujar Farid sambil ketawa.

    Selepas menamatkan pengajiannya, Farid pergi ke Paris, Perancis untuk melengkapkan latihan penyelidikan saintifiknya. Di sanalah dia bertemu dengan bosnya ketika itu, Frederic Marc Rosa. Rosa ialah ketua unit penyelidikan saintifik dan kedua-duanya rapat disebabkan minat mereka terhadap sains dan makanan.

    “Saya seorang ahli biokimia dari segi profesion, tetapi saya sentiasa gemar makanan manis dan nenek saya seorang tukang masak yang sangat baik, jadi saya mempunyai minat mendalam terhadap makanan sejak dari kecil. Dan apabila saya bertemu Farid, kami mempunyai minat yang sama dalam bidang membakar dan saya fikir, ‘Nah, ini boleh jadi sesuatu yang boleh saya lakukan semasa persaraan saya’,” kata Rosa, yang kerap melancong ke Malaysia tetapi tinggal di Perancis kerana mempunyai anak dan cucu di sana.

    Di Paris, Farid seronok menemui pelbagai kedai roti di bandar itu dan akhirnya mengikuti kursus pastri untuk mempelajari cara membuat hidangan manis gaya Perancis. Dia kembali ke Malaysia pada 2016 dan menunggu untuk memenuhi syarat biasiswa dan bekerja dalam bidang sains perubatan. Apabila dia dibebaskan daripada ikatan bon (kerana tiada pekerjaan tersedia), dia dan Rosa memutuskan untuk meneruskan impian mereka untuk membuka kedai roti gaya Perancis di Lembah Klang.

    Marc et Farid Patisserie ditubuhkan pada tahun 2019 di Kota Kemuning, Selangor.

    Perniagaan itu baru berusia beberapa bulan ketika wabak COVID-19 melanda. Kedai baharu terselamat tetapi pada 2022, dua perkara berlaku: Rosa bersara daripada pekerjaannya di Perancis, dan dia dan Farid memutuskan untuk menutup cawangan pertama mereka dan berpindah ke kawasan yang lebih mewah di Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur di mana Mar cet Farid telah berkembang maju.

    Di ruang TTDI mereka, yang dipanggil Farid sebagai ‘makmal dapur’, mereka berdua menggunakan latar belakang sains mereka untuk menguasai dan melaksanakan hidangan manis yang sempurna.

    “Membakar melibatkan ciri-ciri kimia dan fizik dan bagaimana unsur-unsur berbeza bertindak balas antara satu sama lain, jadi walaupun di dapur, saya menggabungkan sains supaya saya dapat melatih kakitangan saya bukan sekadar mengikut resipi dan membuat pastri – ia adalah tentang memahami sebab di sebalik proses itu,” jelas Farid.

    Di kedai roti, mereka berdua telah memilih untuk memberi tumpuan kepada tart – yang kini menjadi kepakaran mereka – serta makaron dan pencuci mulut klasik Perancis yang lain seperti kek opera yang popular.

    Untuk memulakan perjalanan manis awda di sini, cuba Mixed Berry Tart yang merupakan salah satu produk terlaris di kedai itu.

    Sementara Rosa berkata tart beri campuran tidak lazim diperoleh di Perancis, namun dia terpesona dengan ramuan ini yang menampilkan raspberi dan beri hitam bersama kulit tart badam, krim badam dan manisan buah raspberi. Kulit tartnya amat sedap – padat di luar dengan bahagian dalam mentega lembut.

    Makaron adalah salah satu keistimewaan kedai patisserie dan resipi di sini telah dibekalkan oleh Rosa sendiri.

    “Amat sukar untuk memikirkan cara melakukannya – ia perlu dibakar dalam keadaan yang sangat spesifik, ia mesti rangup di luar, lembut di dalam dan berkrim di bahagian tengah. Jika tidak, ia bukan makaron,” kata Rosa.

    Le Macaron di sini telah memenuhi kesemua ciri tersebut. Setiap makaron mempunyai kulit luar yang rangup yang mencair menjadi inti yang lembut dan melekit serta lapisan buah berkrim di antaranya. Ini mungkin penjelmaan makaron paling sempurna yang tidak mungkin awda temui di mana-mana kedai di Lembah Klang.

    Kek Opera ialah hidangan manis klasik Perancis yang terdiri daripada span badam, sirap kopi, krim mentega dan coklat ganache. Di sini, kek itu penuh dengan perisa bercampur kopi, lapisan span dan sedikit coklat. Ia adalah hidangan petang yang istimewa atau snek masa minum petang untuk dinikmati bersama secawan kopi.

    Mengenai masa depan, Farid berkata rancangannya adalah untuk Rosa berpindah ke Malaysia bersama keluarganya dan kedua-dua mereka berusaha mengembangkan jenama itu sambil memastikan kualiti tidak hilang dalam proses itu.

    “Apabila awda adalah perniagaan kecil, perhatian perlu diberikan kepada perincian dan boleh memastikan bahawa adanya kualiti. Apabila berkembang, awda perlu bergantung pada orang lain dan pastikan mereka melakukan perkara yang sama,” kata Rosa.

    Pandangannya dikongsi sama oleh Farid, yang mengutamakan kualiti dan gemar mengambil alih setiap aspek proses pengeluaran makanan.

    “Saya suka terlibat dalam segala-galanya. Ia sangat kecil tetapi saya menikmati pengalaman dan perasaan menjalankan kedai kecil ini.

    “Juga kerana saya tahu bagaimana rasanya tidak mempunyai apa-apa, saya tidak menjalankan Marc et Farid untuk menjadi jutawan, saya melakukannya kerana saya sentiasa bermimpi untuk memiliki sesuatu yang kecil, menawan hati orang,” kata Farid sambil tersenyum. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda