LOS ANGELES, 14 JAN – Ketika ribuan anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran yang marak di Daerah Los Angeles, tekanan politik terhadap Datuk Bandar Los Angeles, Karen Bass semakin meningkat.
Sehingga Ahad, lebih 110,000 tandatangan telah dikumpulkan menerusi petisyen di Change.org yang menuntut peletakan jawatannya, lapor Xinhua.
Dimulakan oleh seorang pengguna dikenali sebagai ‘Frustrated Californian’, petisyen itu menuduh Bass menjalankan ‘pengurusan yang teruk’ serta kurang menunjukkan kepimpinan semasa krisis ini.
Petisyen berkenaan turut mempersoalkan keberadaannya di Ghana bagi lawatan diplomatik pada 7 Januari, ketika kebakaran mula berlaku. Persiapan dan agihan sumber bandar raya itu, termasuk kekurangan bekalan air dan pembiayaan tidak mencukupi, turut dikecam.
Ketua Jabatan Bomba Los Angeles (LAFD), Kristin Crowley mengkritik pemotongan belanjawan sebanyak AS$17 juta dalam wawancara dengan CNN pada Jumaat, sambil menyatakan amaran mengenai kekurangan sumber dan dana telah disuarakan sejak tiga tahun lepas.
Namun, Bass menyangkal tuduhan itu dengan menyatakan bahawa di bawah pentadbirannya, belanjawan jabatan bomba sebenarnya meningkat sebanyak tujuh peratus secara keseluruhan. – Bernama
