Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dayang Nor Fadzilah pandu pulang BMW

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MAC – BMW 2 Series Grand Coupe menjadi milik Dayang Nor Fadzilah binti Abdul Wahid setelah anaknya yang berumur tujuh tahun mencadangkan kepadanya petak yang akan dipilih dan membawa kemenangan hadiah utama kempen Cabutan Bertuah imagine.

    Hadiah tempat kedua berupa dua tiket penerbangan ke Jepun selama empat hari tiga malam menjadi milik Choo Siew Whay.

    Dayang Masrina binti Haji Jumat pula memenangi iPhone 14, Dayang Nur Farahiyah Najibah binti Haji Anuar membawa pulang Samsung Galaxy A32, dan Dayang Siti Norbayu binti Abdul Samad memenangi Wifi Mesh.

    Manakala itu, lima finalis lain tidak pulang dengan tangan kosong, mereka juga menerima hadiah sagu hati.

    Hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan QAF Brunei, Albert Lau; Pengarah imagine, Allen On; Ketua Pegawai Eksekutif imagine, Dayang Suzannawati binti Suharju; Pengurus Besar QAF Auto, Alisa Khoo serta para pegawai dan kakitangan daripada kedua-dua belah pihak.

    Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan QAF Brunei, Albert Lau dan Pengarah imagine, Allen On semasa menyerahkan replika kunci BMW 2 Series Grand Coupe sempena Cabutan Bertuah imagine yang menjadi milik Dayang Nor Fadzilah binti Abdul Wahid. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif imagine, Dayang Suzannawati binti Suharju dan Pengurus Besar QAF Auto, Alisa Khoo. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Dayang Nor Fadzilah bersama para pemenang lain bergambar ramai pada majlis cabutan tersebut.

    Dayang Nor Fadzilah semasa ditemu bual mengongsikan bahawa beliau masih merasa terkejut dan sangat bersyukur kerana memenangi kereta tersebut.

    “Saya datang ke sini hari ini tanpa menjangkakan untuk memenangi apa-apa pun. Saya juga sebenarnya terkejut kerana telah terpilih sebagai salah seorang 10 finalis teratas,” kongsinya.

    Ditanya mengenai rancangannya terhadap hadiah utama itu, Dayang Nor Fadzilah berkata, “Ibu saya akan bersara tidak lagi lama, oleh itu ini akan menjadi hadiah terbaik untuk beliau. Saya baru sahaja memiliki kereta baharu, oleh itu BMW baharu ini sesuai untuknya.”

    Cabutan utama yang diadakan di Bilik Pameran QAF Auto Sdn Bhd itu, adalah kemuncak promosi dan pemberian ha-diah sejak beberapa bulan lalu bagi menandakan tahun ketiga perkhidmatan imagine.

    Syarikat tersebut bekerjasama dengan QAF Auto Sdn Bhd untuk menghadiahkan BMW 2 Series Grand Coupe serba baharu sebagai sebahagian daripada kempen berkenaan.

    Dayang Suzannawati semasa ditemui berkata, mereka sangat teruja dengan acara tersebut yang merupakan kempen cabutan bertuah imagine yang dilancarkan November tahun lepas.

    “Setiap tahun kami ada aca-ra besar untuk disambut dan terima kasih kepada pelanggan-pelanggan imagine.

    “Tahun ini, kami sangat bertuah dapat bekerjasama dengan QAF Auto Sdn Bhd.

    “Ini adalah yang pertama daripada banyak lagi kolaborasi kami. Kami bukan sahaja melihat kereta sebagai hadiah, terdapat juga banyak potensi yang boleh ditawarkan kepada pelanggan kami,” kongsi Dayang Suzannawati.

    Manakala itu, Albert Lau pula berkata, kerjasama itu adalah untuk memperluaskan platform bagi mereka menjangkau pelanggan dari pelbagai lapisan masyarakat.

    “Ia adalah kemenangan untuk kerjasama bagi semua,” ujarnya lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda