Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    DBKK harap kesedaran tinggi masyarakat

    KOTA KINABALU, 3 APRIL – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengutip sebanyak 7.5 tan sampah di atas air dalam beberapa siri pembersihan bulan lepas, terutama di kawasan jeti Jesselton Point Ferry Terminal di sini.

    DBKK dalam kenyataan hari ini memaklumkan lambakan sampah atas air yang dipercayai disebabkan oleh perubahan tiupan angin laut pada Mac telah mencemari beberapa permukaan kawasan perairan dan pinggir laut bandar raya ini.

    “Bertindak atas kejadian, DBKK melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan dengan menggunakan bot dan pengaut sampah terutama di kawasan Jesselton Point Ferry Terminal dan Pasar Besar Kota Kinabalu,” menurut kenyataan itu.

    Pemantauan DBKK juga mendapati pencemaran sampah sarap di laut, sungai mahupun sisa sampah yang terdampar di persisiran pantai sekitar Kota Kinabalu majoriti berpunca dari kawasan perkampungan atau rumah atas air dan kepulauan di sekitar bandar raya itu.

    “Sebagai langkah jangka pendek, DBKK akan memasang perangkap sampah di kawasan perkampungan atas air yang kritikal seperti di sekitar Kampung Numbak dan setinggan Jalan Saga.

    “Kerja-kerja pemantauan dan pembersihan laut turut diteruskan di kawasan persisiran sungai dan pantai di Kota Kinabalu oleh Unit Pembersihan Laut dan Sungai di bawah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal DBKK,” menurut kenyataan itu.

    Sehubungan itu, DBKK menasihati masyarakat supaya tidak membuang sampah ke sungai, laut dan pantai sesuka hati sehingga menyebabkan pencemaran kepada alam sekitar.

    Isu pencemaran laut, sungai dan pantai wajib ditangani secara bersepadu dengan kerjasama agensi-agensi bertindak, termasuk kerjasama dan kesedaran tinggi daripada masyarakat awam. – Bernama

    Foto oleh DBKK ini menunjukkan lambakan sampah atas air yang telah mencemari kawasan perairan dan pinggir laut Kota Kinabalu. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...