Wednesday, April 23, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Debaran Sukan SEA KL2017 semakin terasa

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Negara Brunei Darussalam akan menyertai Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) Ke-29, Kuala Lumpur 2017 yang secara rasminya bermula pada 19 Ogos hingga 30 Ogos nanti, di mana kontinjen negara seramai 172 orang terdiri daripada 105 orang atlet dan 67 orang pegawai termasuk chef de mission, assistant chef de mission, pengurus pasukan, jurulatih dan kakitangan perubatan akan mengambil bahagian dalam 14 acara sukan di temasya itu nanti.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, di sini, hari ini, atlet dan pasukan negara di Sukan SEA ke-29 akan diketuai oleh Chef de Mission, Pengiran Anak Mohd Sofian bin Pengiran Anak Haji Ibrahim. Pasukan negara akan mengambil bahagian dalam 14 acara sukan iaitu Akuatik (Renang Berirama), Olahraga, Badminton, Lumba Basikal, Ekuestrian (Endurance, Jumping, Polo), Lawan Pedang, Bola Sepak, Golf, Karate, Boling Padang, Bola Jaring, Pencak Silat, Sepak Takraw dan Wushu.

    Menurut kenyataan itu lagi, acara-acara yang disertai oleh atlet negara yang dijangka menjadi tumpuan orang ramai nanti adalah Wushu, Sepak Takraw, Bola Jaring, Boling Padang dan Pencak Silat, kerana acara-acara tersebut merupakan acara yang menyumbang pingat untuk negara sejak menyertai Sukan SEA.

    Sementara itu, acara yang julung-julung kali disertai iaitu Polo Campuran, di bawah sukan Ekuestrian, diharap akan mendapat liputan meluas dan orang ramai diseru memberi sokongan.

    Dalam masa yang sama terdapat atlet individu dalam acara olahraga 100 dan 200 meter masing-masing diwakili oleh Awang Mohd Fakhri bin Ismail dan Awang Mohd Noor Firdaus Ar-Rasyid bin Haji Mohd Idris dijangka memberi saingan sengit kepada atlet-atlet ASEAN kelak.

    Kenyataan menjelaskan lagi bahawa Negara Brunei Darussalam mula mengikuti Sukan SEA pada 1977 dan hingga ke hari ini, negara telah memperoleh sebanyak 12 pingat emas, 46 pingat perak dan 167 pingat gangsa, di mana pencapaian terbaik adalah semasa Brunei menjadi tuan rumah pada 1999 dengan meraih empat pingat emas, 12 pingat perak dan 32 pingat gangsa.

    Sehubungan dengan itu, sebagai persediaan Sukan SEA, atlet-atlet dan pasukan negara telah dan sedang menjalani latihan di bawah jurulatih-jurulatih dalam dan luar negara antaranya atlet Akuatik ke Singapura, atlet Badminton ke Malaysia, atlet Olahraga ke Malaysia, atlet Lumba Basikal ke Thailand, atlet Lawan Pedang ke Hong Kong, atlet Bola Jaring ke Sri Lanka, Sepak Takraw ke Thailand dan Wushu ke Republik Rakyat China.

    Kontinjen negara dijangka bertolak secara berperingkat-peringkat bermula pada 12 Ogos dengan Majlis Penyerahan Bendera Negara akan diadakan pada 9 Ogos nanti.

    Di Kuala Lumpur nanti, pasukan negara disediakan kumpulan penyokong oleh tuan rumah dan oleh itu, rakyat Brunei yang berada di Kuala Lumpur semasa Sukan SEA ke-29 adalah amat dialu-alukan menyertai kumpulan penyokong itu.

    Di samping itu, orang ramai dialu-alukan memberi sokongan kepada kontinjen negara dalam pelbagai bentuk termasuk ucap selamat kepada kontinjen negara di kejohanan sukan yang berprestij di rantau ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda