Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dedah pelajar UNISSA cara kendali perniagaan

    Oleh Ak Zaki Kasharan & Mumin Karim
    Gambar oleh Muiz Matdani

    TUTONG, 18 OKT – Mahasiswa dan mahasiswi diseru agar berfikiran terbuka dan belajar cara-cara mengendalikan perniagaan.

    Selain itu, mereka juga disaran tidak bergantung 100 peratus pada pekerjaan di sektor kerajaan kerana adalah mustahil untuk menampung keseluruhan rakyat bekerja di sektor itu. 

    Perkara itu disuarakan oleh Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, Dr Zeiad Amjad Abdul Razak semasa ditemui pada Forum Ekonomi Syariah antara Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan International Halal Trade Hub and Services Sdn Bhd (IHTHS) yang berlangsung di Kampus Sinaut, Tutong, hari ini.

    Dr Zeiad Amjad Abdul Razak turut menyarankan para pelajar melibatkan diri dengan kegiatan sektor swasta kerana tanpa sektor swasta, negara tidak mampu bergerak ke hadapan.

    Sebab itu, katanya, penting adanya kerjasama berterusan antara kerajaan dengan sektor swasta. 

    Dr Zeiad Amjad Abdul Razak (gambar sisipan) semasa ditemui pada Forum Ekonomi Syariah yang berlangsung di Kampus Sinaut.
    Pengiran Subandi ketika menyampaikan kuliah mengenai Realising the Halal Economy pada forum tersebut.
    Antara yang hadir pada majlis berkenaan.
    Antara produk IHTHS dipamerkan pada forum yang berlangsung di Kampus Sinaut, Tutong, kelmarin.

    Pada majlis itu, lebih 80 orang mahasiswa dan mahasiswi Fakulti Pertanian dan Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, UNISSA telah menghadiri forum tersebut.

    Dr Zeiad Amjad Abdul Razak turut mengongsikan forum tersebut bertujuan untuk melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang praktikal dalam industri halal di Brunei kerana mereka percaya bahawa pengetahuan yang dipelajari secara teori di kampus sahaja tidak memadai. 

    Melalui forum itu, ujar beliau, ia sedikit sebanyak dapat meningkatkan keyakinan para mahasiswa apabila menjalankan urusan bersama sektor swasta. Selain itu, forum juga dihasratkan mampu membantu mereka memilih haluan pada masa hadapan. 

    Terdahulu, forum dimulakan dengan kuliah mengenai Realising the Halal Economy yang dibentangkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Ali Hashim Corporation, Pengiran Subandi bin Pengiran Haji Kamis.

    Program disambung dengan sesi forum yang mengetengahkan Pengiran Subandi, dan Penasihat Industri IHTHS, Awang Ramlee bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Zainuddin selaku ahli-ahli panel.

    Bertindak sebagai moderator ialah Ketua Pegawai Eksekutif dan Penasihat IHTHS, Kapten (B) Zailan bin Pehin Datu Kerma Setia Mejar (B) Dato Seri Laila Jasa Mohd Don.

    Pada masa yang sama, para mahasiswa dan mahasiswi semasa acara tersebut turut berpeluang menyaksikan beberapa pameran yang mengetengahkan produk-produk halal IHTHS.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda