Saturday, July 27, 2024
32.3 C
Brunei

    -

    Dedah wanita muda kepada kepimpinan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Sempena International Girls in ICT Days 2024, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) telah menganjurkan sesi ceramah motivasi dan perkongsian pengalaman dengan tema Kepimpinan di Hab Tenaga Dermaga Diraja Brunei, hari ini.

    Lebih kurang 70 orang pelajar perempuan Tahun 7 hingga 11 dari sekolah-sekolah kerajaan dan swasta menghadiri acara berkenaan.

    Penolong Ketua Eksekutif AITI, Dayang Asimah binti Haji Hassan dalam ucapan perasmiannya mengiktiraf keperluan kritikal bagi model peranan wanita yang kuat dalam kerjaya sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

    Beliau juga menekankan bahawa untuk berkembang maju dalam STEM, pendedahan kepada wanita dalam jawatan kepimpinan adalah penting kepada gadis dan wanita muda untuk memberi inspirasi kepada mereka untuk meneruskan kerjaya dalam STEM.

    Ia akan dapat membantu untuk memecahkan stereotaip, meningkatkan keyakinan dan menginspirasikan cita-cita, menunjukkan wanita muda bahawa aspirasi mereka dalam STEM boleh dicapai.

    Dayang Asimah semasa menyampaikan ucapan perasmian. – GAMBAr OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Antara yang hadir pada forum sempena International Girls in ICT Days 2024 anjuran AITI, kelmarin. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Selain itu, mempunyai pemimpin wanita dalam STEM menggalakkan persekitaran yang lebih inklusif dan pelbagai, yang boleh memupuk inovasi dan mewujudkan rangkaian sokongan untuk generasi akan datang.

    Acara telah diisikan dengan sesi perkongsian mengenai Perempuan dalam Keselamatan Siber: Membuka Jalan bagi Masa Depan Digital yang Lebih Selamat oleh Perunding Blockchain di ITPSS Sdn Bhd, Zara Laila Abdul Hadi diikuti oleh Pengasas dan Pengarah Kreatif, Studio Mushi, Alia Alkaff yang menyampaikan topik mengenai Mengharungi Cabaran-cabaran dalam Reka Bentuk Grafik.

    Pasukan Projek Pemerkasaan Belia (YEP) dari Pusat Tingkatan Enam Sengkurong yang terdiri daripada Grizabella Tonny, Dayang Natasya Emeralda Leong binti Mohammad Haziman dan Dayang Nur Hamizah Syazwana binti Haji Zul Amali turut berkongsi pendapat berkaitan Menginspirasikan Pemimpin-pemimpin Masa Depan Menerusi Kuasa ICT.

    Sesi berkenaan membolehkan para penceramah berkongsi pengetahuan dan pengalaman kepimpinan dalam bidang kepakaran masing-masing, seperti perkongsian mengenai blockchain dan reka bentuk grafik untuk memperkasakan belia wanita meneruskan kerjaya dalam STEM.

    Sesi diikuti dengan perbincangan panel bertemakan Memperkasakan Gadis dalam Kepimpinan STEM yang dikendalikan oleh Pengurus di AITI, Dayang Nurhayati binti Haji Mokim.

    Acara diakhiri dengan penyampaian hadiah bagi Pertandingan Seni Digital bersempena International Girls in ICT Day 2024 yang dibuka dari 25 April hingga 20 Mei lalu.

    Pertandingan dibahagikan kepada dua kategori dengan Kategori 1 (Tahun 7 hingga 9) telah dijuarai oleh Dayang Nazifah Farwizah binti Jaliah dari Sekolah Arab Belait diikuti oleh Dayangku Damia Surhana binti Pengiran Haji Saiful Rizal dari Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Sungai Akar di tempat kedua dan Dayangku Yasmeen Safiya binti Pengiran Mohd Hassan dari Sekolah Menengah Yayasan Haji Hassanal Bolkiah (SM YSHHB) di tempat ketiga.

    Manakala itu, bagi Kategori 2 (Tahun 10 dan 11), johan telah disandang oleh Dayangku Fitri Nur Batrisya binti Pengiran Wadood dari Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS), tempat kedua dimenangi oleh Dayangku Shasha Sahira binti Pengiran Mohd Sahrulluddin dari Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) dan tempat ketiga pula dimenangi oleh Dayang Awliya Zahra binti Amirul dari SM YSHHB.

    Penyampaian hadiah-hadiah berupa wang tunai berserta sijil telah disempurnakan oleh Dayang Asimah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...