Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Tingkat, praktik kemahiran asas kaunseling

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Seramai 37 orang mahasiswa dan mahasiswi Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengikuti Kursus Asas dan Lanjutan Kemahiran Kaunseling bagi Program Rakan UMAT (Pengambilan ke-4) yang berlangsung selama enam hari pada 20 hingga 25 Mei lalu.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis penutup dan seterusnya menyampaikan sijil pentauliahan ialah Pemangku Penolong Rektor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNISSA, Pengiran Dr Hajah Khairiah binti Pengiran Haji Hashim.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan UNISSA, sepanjang kursus berkenaan, pelbagai kemahiran telah dipelajari seperti kemahiran asas kaunseling, menolong, mengurus tekanan dan membuat keputusan.

    Para peserta juga diberikan ruang dan peluang untuk mengaplikasi kemahiran asas kaunseling yang dipelajari ketika mereka menjalani aktiviti Adventure Based Counseling (ABC) iaitu Under the Bridge di Taman Mahkota Jubli Emas.

    Dalam aktiviti itu, para peserta diberikan aktiviti dan terus menggunakan kemahiran asas kaunseling yang mereka pelajari seperti kemahiran mendengar, bertanya, membina hubungan, parafrasa dan komunikasi sesama mereka.

    Fasilitator kursus berkenaan terdiri daripada Kaunselor Pelawat UNISSA, Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor dan Pegawai Kaunselor UNISSA, Dayang Norsadiah binti Matarsad di samping beberapa penceramah jemputan seperti Peguam Syarie Negara Brunei Darussalam, Awang Mohamad Affendy bin Haji Junaidi; Pegawai Pendidik-Kaunselor, Unit Bahagian Kaunseling, Kementerian Pendidikan, Dayang Norfaezah binti Haji Masri dan Pegawai Pelajaran Bahagian Kaunseling, Unit Kesejahteraan Pemimpin Sekolah dan Tenaga Pengajar, Dayang Azrina binti Mohd Jaya.

    Secara keseluruhan, seramai 103 orang mahasiswa dan mahasiswi telah ditauliahkan sebagai Rakan UMAT UNISSA, dan diharapkan ramai lagi yang akan menyertainya bagi sama-sama membimbing, membantu rakan siswa yang menghadapi cabaran dalam pelajaran dan kehidupan mereka serta memberikan pengetahuan dan kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental.

    Perkongsian daripada Awang Mohamad Affendy kepada para peserta kursus. – GAMBAR SERAHAN UNISSA
    Pengiran Dr Hajah Khairiah bergambar ramai bersama peserta kursus berkenaan. – GAMBAR SERAHAN UNISSA

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...