Friday, May 17, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Dedikasi resipi untuk anak yang hilang

    MEXICO – Apabila Yadira Martinez memasak hidangan kegemaran anaknya, dia merasakan seolah-olah anaknya sudah pulang ke rumah, jadi dia bersama ibu-ibu yang lain memutuskan untuk berkongsi resipi dalam sebuah buku masakan yang didedikasikan untuk anak mereka yang hilang.

    “Apabila saya memasak telur, saya merasakan dia ada di sini, dia akan datang dan duduk untuk makan bersama kami,” kata Martinez di rumahnya di Irapuato di Guanajuato, salah satu negeri paling ganas di Mexico.

    Dan hasil daripada jualan buku resipi itu membantunya dan ibu-ibu yang lain membayar perbelanjaan bagi mencari anak mereka yang hilang.

    Lebih kurang 3,700 orang telah hilang di negeri Guanajuato di tengah Mexico, daripada jumlah keseluruhan melebihi 112,000 di seluruh negara.

    Kebanyakan kes kehilangan telah berlaku sejak 2006, apabila kerajaan menghantar tentera dalam perang melawan dadah, yang membawa kepada peningkatan keganasan.

    Yadira Martinez menunjukkan buku masakan semasa menyediakan hidangan kegemaran anaknya yang hilang, pada 27 September. – Gambar AFP
    Gambar AFP
    Gambar AFP
    Laporan daripada ibu-ibu Hasta Encontrarte telah menemui 180 mayat di Guanajuato sejak membentuk kumpulan itu pada 2021. – Gambar AFP
    Polis bersenjata mengawal ibu-ibu semasa mereka mencari orang hilang, mencerminkan risiko yang mereka hadapi daripada kumpulan penjenayah. – Gambar AFP

    Dengan menggunakan bawang, tomato dan lada cili, Martinez membuat telur gaya Mexico dengan kacang goreng yang sangat digemari oleh anaknya, Jaime sehingga dia hilang pada 2018 pada usia 22 tahun.

    Lada sumbat untuk Antonio dan Lasagna untuk Raymundo adalah antara lebih daripada 70 hidangan lain dalam buku itu yang bertujuan untuk mengekalkan kenangan ke atas mereka yang hilang.

    Karla Jimenez berkongsi resipi untuk enchilada, hidangan kegemaran abangnya, Juan Valentin yang hilang pada usia 37 tahun pada 2020.

    Buku tersebut mengandungi nota mengenai setiap orang yang hilang dan perjuangan keluarga mereka untuk mencari mereka.

    “Kita semua mempunyai hidangan kegemaran. Kita semua telah memasak dengan penuh kasih sayang untuk seseorang atau seseorang memasak untuk kita dengan penuh kasih sayang,” kata Zahara Gomez Lucini, jurugambar di sebalik projek itu.

    “Ia bercakap tentang orang hilang dengan cara yang berbeza, bukan hanya tentang pencarian mereka atau kematian mereka, tetapi juga tentang apa yang mereka suka, apa yang mereka tidak suka, muzik apa yang mereka dengar,” tambahnya.

    Kira-kira 2,000 salinan buku masakan telah dicetak sejak Oktober 2022.

    Separuh daripada keuntungan daripada jualan disumbangkan kepada kumpulan pencari.
    Martinez telah bekerja dengan kumpulan Hasta Encontrarte (Sehingga aku menemui kamu) selama empat tahun untuk mencari anaknya dan orang-orang lain yang hilang.

    Para ibu melaporkan bahawa telah menemui 180 mayat di Guanajuato sejak membentuk kumpulan itu pada 2021.

    Pada satu hari baru-baru ini, ahli-ahli kumpulan itu menggunakan besi logam untuk memeriksa sebidang tanah selepas menerima petunjuk mengenai kemungkinan adanya sisa-sisa.

    “Selepas itu, kami menghidu besi tersebut jika ada tercium bau busuk. Ia mungkin kerana terdapat kubur yang tidak bertanda,” kata Carla Vasquez, 20, yang sedang mencari abangnya yang hilang.

    Polis bersenjata mengawal ibu-ibu itu daripada bahaya yang ditimbulkan oleh kumpulan penjenayah, mencerminkan risiko yang mereka hadapi ketika mencari mangsa hilang.

    Pada Mei 2023, seorang ibu yang mencari anaknya telah dibunuh di Guanajuato, tempat kartel bersaing untuk mengawal laluan pengedaran dadah yang menguntungkan.

    Walaupun bahaya, negeri itu merupakan destinasi pelancongan utama dan menjadi hab perindustrian yang menempatkan kilang-kilang gergasi automotif asing.

    Guanajuato “menarik pelaburan dari Jerman atau Amerika Utara, tetapi ia juga merupakan negeri yang menarik kumpulan pengedaran dadah,” kata penganalisis keselamatan David Saucedo.

    Selain ramai yang hilang, lebih 420,000 orang telah dibunuh di Mexico sejak 2006.

    Sistem forensik negara itu sudah dibebani dan puluhan ribu mayat yang tidak dikenali terbaring di makmal patologi atau kubur besar. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Adik perempuan Kim nafi Korea Utara telah membekalkan senjata kepada Rusia

    PYONGYANG, 17 MEI - Adik perempuan berpengaruh pemimpin Korea Utara Kim Jong Un sekali lagi menafikan hari ini bahawa negaranya telah mengeksport sebarang senjata...