Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Kapal penggempur Type 45 Tentera Laut Diraja United Kingdom (UK), HMS Defender telah berada di Negara Brunei Darussalam bagi lawatan muhibah bermula dari 25 Julai lalu hingga kelmarin, menandakan lawatan pertama oleh sebuah kapal Tentera Laut Diraja UK sejak 2019.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam, di sini, hari ini, HMS Defender telah menerima lawatan kerja daripada Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei, pegawai serta kakitangan dari Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
Kehadiran delegasi dialu-alukan oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe; Penasihat Pertahanan British ke Negara Brunei Darussalam Group Captain Graeme Davis dan Pegawai Pemerintah HMS Defender, Komander Vince Owen.
Lawatan bermula dengan taklimat disampaikan oleh Komander Vince Owen mengenai ciri-ciri utama dan keupayaan HMS Defender serta berkongsi mengenai pengalaman pelayaran HMS Defender sebagai sebahagian daripada penugasan Carrier Strike Group (CSG21) UK.
HMS Defender telah ditauliahkan pada Mac 2013 dan tidak pernah mengadakan lawatan ke Brunei sebelum ini serta amat teruja dengan program penglibatan terhad pada lawatan itu.

CSG 21 merangkumi sembilan buah kapal, 32 buah pesawat dan hampir 4,000 orang kakitangan dan merancang untuk melawat lebih daripada 40 buah negara, mengetengahkan komitmen UK untuk bekerja dengan rakan-rakan kongsinya dan melaksanakan sistem antarabangsa berasaskan peraturan, iaitu amat penting bagi mengekalkan kestabilan, sekuriti dan kemakmuran di Asia Tenggara.
Menurut kenyataan itu lagi, kumpulan yang membuat pelayaran lebih 26,000 batu nautika dalam tempoh tujuh bulan itu, merupakan penugasan bersejarah yang akan menyaksikan pelayaran di rantau ini dalam bulan-bulan mendatang dan bekerja rapat dengan rakan-rakan UK.
Negara Brunei Darussalam dan UK mempunyai hubungan pertahanan yang kukuh dan sekian lama terjalin di mana ia merangkumi pelbagai jenis interaksi termasuk perjanjian dalam kerjasama pertahanan, pertukaran lawatan, mesyuarat dua hala, latihan ketenteraan dan seumpama.
Lawatan tersebut telah dirancang dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam di mana protokol ketat ditetapkan bagi memastikan bahawa kapal dan krunya bebas daripada COVID-19 serta mengelakkan sebarang risiko pada Brunei.
Kenyataan menekankan bahawa kesemua kru kapal berkenaan divaksinasi penuh dan diuji mengikut garis panduan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan.