KUALA LUMPUR – ‘Dekoponix rack’ ciptaan penyelidikUniversiti Putra Malaysia(UPM) bukan sahaja mampu membantu penghuni pangsapuri bercucuk tanam malah boleh menggunakan alat tersebut sebagai dekorasi rumah.
Prof Dr Khairul Aidil Azlin Abd Rahman dari Jabatan Rekabentuk Perindustrian, Fakulti Rekabentuk dan Senibina UPM, yang mengetuai kumpulan penyelidik bagi membangunkan alat tersebut berkata beberapa jenis sayuran dan ulaman boleh ditanam dalam alat tersebut tanpa memerlukan tanah.
“Ia berkonsepkan hiasan menggunakan sistem hidroponik secara bertakung di dalam bekas yang diperbuat daripada seramik yang diwarnai dengan pelbagai corak menarik,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata dengan berat ketika kosong kira-kira 2.5 kilogram, ia mudah dibawa untuk dipasang, manakala ketinggian selepas dipasang ialah 1.5 meter untuk rak empat tingkat dan sesuai untuk diletakkan di dalam rumah dengan bilangan rak yang boleh ditambah.
Alat tersebut yang menggunakan “teknologi yang menggunakan sistem modular mudah dipasang dan dileraikan oleh pengguna dalam masa kira-kira lima minit,” boleh digunakan sebagai dekorasi di dapur dan meja makan, katanya.


Malah ianya turut menggunakan ruang yang kecil, dan mampu mewujudkan suasana kehijauan dalam rumah dan membawa kesegaran udara, tambahnya.
Beliau berkata alat tersebut juga boleh dijadikan bidai pemisah antara ruang tempat makan dan dapur.
Memandangkan alat tersebut menggunakan kaedah hidroponik, “tanaman tidak memerlukan penjagaan rapi tetapi mampu menghasilkan produk yang bersih serta organik,” katanya.
Beliau berkata antara sayuran yang boleh ditanam dalam dekoponix rack ini adalah kalian, salad, kangkung, bayam merah dan pegaga.
Khairul Aidil Azlin berkata produk itu mula dibangunkan pada November 2014 oleh kumpulan penyelidik yang di-ketuainya, dan model prototaip inovasi itu siap pada akhir tahun lepas, dan dijangka dikomersilkan dalam masa terdekat.
Beliau berkata antara penyelidik dan pelajar yang terbabit dalam projek itu ialah Dr Mohd Shahrizal Dolah, Mohd Hafiz Talib yang kini Pengarah Dekoponik Sdn Bhd dan Mohd Zulkarnain Rusli. – Bernama