DOHA, 5 JAN – Menteri-menteri daripada kerajaan peralihan Syria tiba di Qatar hari ini, menjadikan ia lawatan pertama mereka ke negara Teluk itu sejak kejatuhan Presiden Bashar al-Assad bulan lalu, menurut pegawai dan laporan agensi berita, SANA.
Delegasi itu diketuai oleh Menteri Luar Interim, Asaad al-Shaibani, yang diiringi oleh Menteri Pertahanan, Morhaf Abu Kasra, dan Ketua Perisikan baharu, Anas Khattab, lapor SANA.
Menurut laporan tersebut, mereka dijadualkan berbincang dengan pegawai Qatar mengenai ‘prospek kerjasama dan koordinasi antara kedua-dua negara.’
Seorang diplomat Syria dan pegawai Qatar mengesahkan kepada AFP bahawa Shaibani tiba hari ini untuk menghadiri siri pertemuan rasmi.
Berbeza dengan negara Arab lain, Qatar tidak pernah memulihkan hubungan diplomatik dengan Syria di bawah pemerintahan Assad, yang digulingkan oleh kemaraan pemberontak selama 11 hari yang berjaya menawan beberapa bandar utama sebelum menakluki ibu negara Damsyik pada Disember lalu.
Perang di Syria bermula pada 2011 apabila Assad mengambil tindakan keras terhadap protes aman yang menuntut demokrasi.
Konflik itu kemudian bertukar menjadi peperangan pelbagai pihak, di mana Doha selama bertahun-tahun menjadi penyokong utama pemberontakan bersenjata.
Dalam kenyataan di platform media sosial X pada Jumaat, Shaibani berkata beliau akan melawat Qatar, Emiriah Arab Bersatu, dan Jordan dalam beberapa hari akan datang.
“Kami berharap lawatan ini dapat menyumbang kepada kestabilan, keselamatan, pemulihan ekonomi, dan membina kerjasama yang kukuh,” katanya. – AFP