KUALA LUMPUR, 29 OGOS – Demant dari Denmark, kumpulan penjagaan kesihatan pendengaran dan teknologi audio terkemuka, membuka hab teknologi pertamanya di luar Eropah di Kuala Lumpur untuk menyokong perjalanan pertumbuhannya dan meraih bahagian yang lebih besar daripada pasaran penjagaan kesihatan pendengaran.
Selepas carian global yang meluas dan menilai beberapa bandar, Pengurus Besar Demant Technology and Innovation Hub, Christian Daugbjerg berkata kumpulan menyenarai pendek Malaysia untuk kumpulan tenaga kerja yang menarik dan sokongan kerajaan yang baik, seperti daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta InvestKL.
“Dari segi kedudukan geografi, pada separuh pertama 2023, perniagaan Demant di Asia mengatasi semua pasaran lain dengan pertumbuhan sebanyak 34 peratus.
“Pejabat KL ini akan memberi tumpuan kepada dua bidang pada masa ini. Pertama, ialah penciptaan dan pembangunan perisian untuk bahagian diagnostik (mendiagnosis kehilangan pendengaran) dan kedua, untuk pakar teknologi maklumat (IT) dalam bidang awan, keselamatan siber, data raya dan analitik,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian pejabatnya, hari ini.
Daugbjerg berkata syarikat giat mengambil pekerja dan merancang untuk mengambil lebih 200 pakar tempatan menjelang 2024, dengan peningkatan kepada 300 pada akhir 2026.
“Kami adalah syarikat yang memfokus kepada teknologi dan kami mahu pakar yang mempunyai minat yang mendalam berikutan kami mempunyai minat yang tinggi dalam bidang pembangunan perisian, kecerdasan buatan (AI), pembelajaran mesin, keselamatan siber dan kemahiran IT am,” katanya. – Bernama
