NEW DELHI, 2 DIS – Beratus-ratus pembantah India hari ini mengadakan demonstrasi jalanan ketika kemarahan awam meledak atas kekejaman rogol berkumpulan dan pembunuhan seorang doktor veterinar wanita, dengan seorang ahli parlimen India menyeru pelakunya digantung tanpa bicara.
Demonstrasi di New Delhi, Hyderabad, Bangalore dan di setiap ceruk berlangsung ketika polis menemui mayat separuh bogel seorang budak perempuan berusia enam tahun yang tampaknya dirogol, kemudian dicekik dengan tali pinggang sekolahnya di Rajasthan.
Demonstrasi bantahan dicetuskan oleh rogol berkumpulan dan pembunuhan seorang doktor veterinar wanita berhampiran sebuah jalan sibuk oleh empat orang lelaki di pinggir bandar Hyderabad di selatan India pada malam Rabu lalu.
Lelaki-lelaki tersebut membuatkan tayar basikal wanita itu pancit, kemudian mengumpannya ke sebuah trak dengan janji untuk memperbaikinya. Polis mengatakan lelaki-lelaki tersebut kemudian merogol dan membunuhnya sebelum membakar mayatnya menggunakan petrol di sebuah jambatan berasingan.
Pada Sabtu, polis terpaksa menggunakan kekerasan untuk menyuraikan beratus-ratus pembantah selepas mereka menyerbu ke dalam balai polis di Hyderabad di mana empat lelaki itu ditahan. Mereka semenjak itu sudah pun didakwa.
Dalam pada itu, ahli parlimen India membangkitkan kebimbangan serius berhubung kes rogol dan bunuh itu, lapor agensi berita China, Xinhua.
Ahli Parlimen merentasi semua parti di kedua-dua dewan di Parlimen iaitu Lok Sabha dan Rajya Sabha, menggesa pelaksanaan lebih ketat undang-undang yang berkaitan rogol dan jenayah terhadap wanita. – AFP
