Pelakon Michael J. Fox meramalkan tidak akan hidup lama disebabkan masalah penyakit Parkinson yang dialaminya.
Memetik laporan E News, Michael, 62, berkata, dia seperti dapat merasakan hidupnya tidak akan mencecah sehingga usia 80 tahun dan akan meninggal dunia bersama penyakitnya itu.
“Awda tidak akan mati akibat Parkinson. Awda mati dengan Parkinson. Saya tidak akan merasa hidup sehingga umur 80 tahun,” katanya menerusi satu temu bual dalam sebuah program televisyen iaitu CBS This Morning pada 30 April.
Pelakon filem Back to the Future itu disahkan menghidap Parkinson sekitar tahun 1991 ketika usia 29 tahun.
Sejak daripada itu, dia memperlahankan kerjaya seninya dan memberi tumpuan kepada Yayasan Michael J. Fox yang ditubuhkan untuk mencari penawar bagi merawat penyakit Parkinson.
Bagaimanapun, penyakitnya itu menjadi semakin teruk, seperti yang dikongsi dalam temu bual program televisyen berkenaan bahawa setiap hari menjadi lebih sukar.
Selama bertahun lamanya, aktor berkenaan mengalami ketakutan termasuklah faktor kesihatan yang lain.
Kata Michael, penyakit yang ditanggung selama 30 tahun itu sukar dihadapi dan dianggap seperti ‘neraka hidup’.
“Selama 30 tahun saya berjuang dengan penyakit ini. Tidak ramai di antara kita yang mempunyai penyakit ini selama 30 tahun.
“Bagi sesetengah keluarga, ia merupakan satu mimpi ngeri dan boleh dianggap sebagai ‘neraka hidup’.
“Awda perlu berurusan dengan realiti yang berada di luar pemahaman kebanyakan orang,” ujarnya. – Agensi