Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MAC – Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar mengongsikan bahawa ketika ini semakin ramai yang mula memahami dan menerima dialisis peritoneal berbanding sebelumnya.
“Sejak tiga tahun kita berhadapan dengan COVID-19, penerimaannya telah meningkat daripada berpuluh sehinggalah ke 200 lebih orang yang menggunakan dialisis peritoneal.
“Mengikut nisbah, Brunei adalah yang tertinggi di rantau ini menggunakannya,” katanya semasa menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam pada
permesyuaratan MMN, di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.
Beliau mengongsikan kaedah itu adalah memasukkan satu kit ke dalam perut bagi memasukkan air bagi pencucian buah pinggang dengan menggunakan peritoneal dalam perut bagi memproses peralihan kimia-kimia yang tidak baik daripada badan keluar yang boleh dilakukan di rumah pada setiap malam yang kelazimannya dibuat sebelum tidur dan selesai pada keesokan paginya.
Dengan peralihan kepada dialisis peritoneal ini, katanya, seseorang itu boleh melakukan pekerjaan dan aktiviti seperti biasa di siang hari tanpa terjejas.
Di samping itu, ia juga dapat meringankan beban keluarga pesakit yang terpaksa menunggu lama semasa proses dialisis di pusat dialisis. Selain itu, kaedah dialisis peritoneal juga boleh mengurangkan komplikasi yang berkaitan dengan hemodialisis.
Menurut beliau lagi, Brunei adalah antara lima negara tertinggi di dunia yang mempunyai masalah buah pinggang mengikut nisbahnya.
Peningkatan penyakit tidak berjangkit yang ketara sekali dilihat iaitu penyakit buah pinggang di mana dalam lima tahun yang lalu telah mencatatkan sebanyak lebih 600 kes dan pada tahun ini mencapai sehingga lebih 900 kes yang melibatkan masalah buah pinggang.
Namun bagi kesediaan pesakit bagi menjalani rawatan pemindahan buah pinggang, setakat ini hanya 15 rawatan pemindahan buah pinggang telah dilakukan dan dijangkakan ia akan berterusan mening-kat dari setahun ke setahun.