Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Salawati Haji Yahya & Izzah Azahari
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Kesultanan Oman dan Negara Brunei Darussalam mempunyai hubungan dua hala yang erat dalam pelbagai bidang dan hubungan tersebut diperkukuhkan lagi dengan Dialog Kerjasama Kesultanan Oman dan Brunei Darussalam yang berlangsung tiga hari bermula hari ini.
Majlis perasmian dialog telah berlangsung di Perpustakaan Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah yang turut menyaksikan pameran kebudayaan Kesultanan Oman.
Dialog kerjasama itu adalah bersempena dengan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Brunei Darussalam – Kesultanan Oman (BOJC) ke-3 yang telah berlangsung kelmarin antara Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Negara Brunei Darussalam dan Kementerian Perdagangan dan Industri serta Penggalakan Pelaburan, Kesultanan Oman.
Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Sheikh Ahmed bin Hashil Al Maskari dalam ucapan alu-aluannya berkata, acara itu adalah untuk mempromosi pelaburan dan peluang pengajian tinggi di Kesultanan Oman dan Brunei Darussalam.
Beliau menambah, ia termasuk dalam dua kategori terpenting dalam diplomasi ekonomi dan diplomasi awam yang semakin diakui mempunyai kesan ketara terhadap diplomasi politik, terutamanya ketika dunia sedang berusaha untuk pulih daripada kesan pandemik COVID-19.
Tuan Yang Terutama seterusnya melahirkan kepercayaan bahawa perundingan dan penyelarasan berterusan yang dipromosikan dalam acara tersebut akan memajukan lagi hubungan dua hala dua buah negara bersaudara ini dalam bidang pelaburan, pendidikan dan bidang berkaitan lain, yang seterusnya akan mencerminkan secara positif dalam kejayaan kerjasama keseluruhan Kesultanan Oman dan Brunei Darussalam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, acara berkenaan merangkumi Forum Pelaburan yang akan diadakan pada 6 Julai, Forum Pendidikan pada 7 Julai dan Pameran Warisan dan Pelancongan Kesultanan Oman bermula hari ini hingga 7 Julai.
Dengan bertemakan ‘Bersama Kita Bekerjasama bagi Masa Depan Lebih Baik’, dialog itu mempunyai objektif untuk mempromosikan peluang-peluang pelaburan, pengajian tinggi dan pelancongan di Kesultanan Oman dan Negara Brunei Darussalam serta ditaja oleh Syarikat Pelaburan Oman Brunei (OBIC).
Selepas majlis pelancaran, Ketua Pegawai Eksekutif OBIC, Fathi Al Balushi turut menyampaikan ucaptama.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin; Setiausaha Rendah di Kementerian Perdagangan dan Industri dan Promosi Pelaburan untuk Perdagangan dan Industri, Kesultanan Oman, Dr Saleh bin Saeed Al-Masn; Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle serta para pegawai kanan kerajaan dan ketua-ketua misi diplomat.