Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Diberkas seludup 747 karton rokok

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JAN – Seorang warganegara tempatan berusia 26 tahun telah ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan barang-barang tegahan semasa operasi rutin anggota Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di kawasan perindustrian Kampung Kuala Lurah, Daerah Brunei dan Muara pagi tadi.

    Menurut kenyataan, semasa operasi rutin tersebut, anggota polis telah mengesan dua buah kenderaan yang mencurigakan diletakkan di kawasan berkenaan tanpa pemandu.

    Rondaan yang dijalankan di kawasan berdekatan telah menemukan seorang individu dipercayai salah seorang pemandu (suspek) dan pemilik kepada salah sebuah kenderaan tersebut. Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek mendapati sejumlah 15 bungkusan kotak besar dipercayai barang tegahan yang berisi 747 karton rokok pelbagai jenama cuba diseludup ke negara ini.

    Suspek berserta kesemua penemuan barang rampasan dan bahan bukti kemudiannya diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan lanjut.

    PPDB memandang serius akan kegiatan-kegiatan penyeludupan ini dan akan sentiasa membuat pemantauan serta menjalankan operasi-operasi bagi membanteras kegiatan sedemikian.

    Pihak polis juga menyarankan kepada orang ramai agar dapat bekerjasama dan memberikan apa jua jenis maklumat dengan mengongsikan ke talian kecemasan 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan serta melalui e-mel di laman sesawang PPDB www.police.gov.bn atau pun Instagram @upa.ppdb

    Antara rokok pelbagai jenama yang ditemui oleh pasukan polis semasa operasi rutin di kawasan perindustrian Kampung Kuala Lurah, Daerah Brunei dan Muara, kelmarin. – Gambar serahan PPDB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda