SEBELUM ini, penyanyi popular penuh kontroversi iaitu Taylor Swift diangkat oleh majalah Forbes sebagai selebriti paling kaya di muka bumi untuk 2016 dengan jumlah pendapatan AS$170 juta. Semua kekayaan itu hasil kejayaan Konsert Jelajah Dunia 1989.
Bagaimanapun, untuk 2017, penyanyi Diddy atau Sean Combs mengungguli artis terkaya dengan jumlah pendapatan AS$130 juta manakala Taylor tersungkur di tangga 49 apabila pendapatannya bagi tahun ini hanya dianggarkan sekitar AS$44 juta.
Malah kedudukan artis di tempat kedua hingga lima juga tiada dalam senarai Top 10 tahun ini seperti One Direction, Adele, Madonna dan Rihanna.
Senarai Top 10 selebriti paling kaya di dunia bagi 2017 terdiri daripada penyanyi, personaliti dan penulis buku seperti Beyonce, JK Rowling, Drake, The Weeknd. Howard Stern, Coldplay, James Patterson, Guns N Roses dan Rush Limbaugh sebagaimana yang diumumkan majalah Forbes baru-baru ini.
Jumlah pendapatan selebriti berkenaan dianggarkan berdasarkan laporan daripada Nielsen, NPD Bookscan, Pollstar, Box Office Mojo, Songkick, D’Marie, IMDB termasuk temu bual mereka bersama pihak terbabit dalam industri seni.
