Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JAN – Sebuah syarikat di Kampung Luagan Timbaran, Mukim Kiudang, Tutong telah dikenakan denda kompaun $500 oleh Unit Penguatkuasaan Jabatan Daerah Tutong atas kesalahan melonggokkan sampah di tempat awam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Daerah Tutong, syarikat berkenaan didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian 2021 dan dikehendaki menjelaskan kompaun dalam tempoh tujuh hari.
Jika gagal membayar denda berkenaan, syarikat tersebut boleh dihadapkan ke mahkamah di mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang $2,000 dan tidak melebihi $10,000 bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang $10,000 dan tidak melebihi $30,000, atau penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong mengingatkan orang ramai, pihak syarikat dan pemilik premis-premis perniagaan agar sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar, khususnya di kawasan premis-premis perniagaan dan juga kawasan awam dengan tidak membuang, melonggokkan atau meninggalkan apa jua jenis sampah sarap di tempat awam.