Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Diplomat Korea U berpaling tadah ke Korea Selatan

    SEOUL, 16 JULAI – Seorang diplomat tinggi Korea Utara yang bertugas di Cuba telah berpaling tadah ke Korea Selatan pada November lalu, hanya beberapa bulan sebelum Seoul dan Havana menjalin hubungan diplomatik, kata agensi perisikan Korea Selatan, hari ini.

    Diplomat Korea Utara, Ri Il Kyu, yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal politik di kedutaan Pyongyang di Cuba sejak 2019, ditugaskan khususnya ‘untuk menghalang hubungan diplomatik antara Korea Selatan dan Cuba, menurut laporan Chosun Daily Korea Selatan.

    Ri berpaling tadah ke Korea Selatan bersama isteri dan anak-anaknya pada awal November, menjadikannya diplomat Korea Utara berpangkat tertinggi yang diketahui telah berpaling tadah sejak Thae Yong Ho, timbalan duta Pyongyang ke Britain, pada 2016, menurut laporan itu.

    Agensi perisikan Korea Selatan mengesahkan kepada AFP bahawa ‘benar’ terdapat ‘pembelotan oleh kaunselor hal ehwal politik dari kedutaan Korea Utara di Cuba’, tanpa memberikan butiran lanjut.

    Kementerian Penyatuan Seoul sebelum ini menyatakan terdapat peningkatan jumlah pembelotan oleh golongan elit Korea Utara, yang membentuk sekitar 10 daripada 196 pembelotan pada 2023, jumlah tertinggi dalam beberapa tahun.

    Sekitar tiga bulan selepas laporan pembelotan Ri, Seoul dan Havana – yang merupakan salah satu sekutu tertua Pyongyang dan sebuah negara komunis – mengumumkan bahawa mereka menjalin hubungan diplomatik.

    Dalam satu wawancara eksklusif dengan Chosun Daily Korea Selatan, Ri berkata beliau memutuskan untuk berpaling tadah selepas Pyongyang menolak permintaannya untuk mendapatkan rawatan perubatan di Mexico selepas mengalami kecederaan, walaupun beliau tidak dapat menerima rawatan yang diperlukan di Cuba kerana kekurangan peralatan khusus. – AFP

    Skrin TV menunjukkan imej fail Ri Il Kyu, semasa program berita di Stesen Kereta Api Seoul di Seoul, Korea Selatan, baru-baru ini. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda