Tuesday, December 24, 2024
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ditarik ke dunia bunian

    Oleh Elite88 –

    Tatkala langit mula gelap, aku memandu pulang dari pejabat. Jalan hutan yang aku pilih untuk laluan pulang hari itu memang sunyi, dan sesekali saja kereta lain kelihatan.

    Aku selalu memilih jalan ini kerana lebih cepat sampai ke rumah. Lagipun, aku sudah terbiasa dengan kawasan hutan yang agak gelap itu. Tapi malam itu, semuanya terasa lain.

    Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena, tapi aku tidak dapat jelaskan apa.

    Ketika aku hampir sampai ke selekoh tajam di tengah hutan, aku terdengar suara. Pada mulanya, aku fikir hanya angin yang menderu kuat atau mungkin bunyi dedaun. Tapi suara itu makin jelas. Ia seperti suara halus yang memanggil namaku, “Amir… Amir…”

    Jantungku berdegup laju. Aku segera memperlahankan kereta dan memandang sekeliling, tapi tak nampak apa-apa. Tak ada orang. Jalan pun kosong.

    Foto Canva
    Foto Canva

    Aku cuba mengabaikan perasaan itu dan terus memandu. Tapi semakin aku memecut, suara itu makin kuat. Seakan-akan suara itu mengejarku.

    Aku mula rasa tak sedap hati, seolah-olah ada sesuatu yang sedang mengikut aku dari jauh.

    BAYANGAN DI TEPI JALAN

    Esoknya, aku cuba melupakan kejadian aneh malam tadi. Aku bekerja seperti biasa, tapi dalam hati, perasaan resah tetap ada. Satu perasaan yang sukar digambarkan.

    Petang itu, ketika aku pulang menggunakan jalan yang sama, aku terasa seperti sedang diperhatikan. Di tepi jalan hutan itu, dalam kegelapan yang hampir menutup pandangan, aku melihat sekelebat bayangan bergerak.

    Bayangan itu cepat. Tak sempat aku meneliti, tapi yang pasti, sesuatu berada di situ.

    Walaupun aku cuba yakinkan diri bahawa itu hanya ilusi, dalam hati kecil aku tahu — ada sesuatu yang cuba menghampiri aku.

    Semasa makan malam bersama isteri, aku beranikan diri untuk bercerita.

    “Yang, kau rasa ada benda kah di hutan dekat jalan pintas yang aku selalu lalu tu?” aku bertanya, cuba mencari kepastian.

    Isteri aku, Maya, terdiam seketika sebelum menjawab, “Hutan sana? Banyak orang cerita yang bukan-bukan pasal hutan atu. Banyak sudah yang hilang, sampai sekarang tidak tahu apa jadi.”

    Aku ketawa kecil. “Kau percaya kah cerita-cerita atu?”

    Dia hanya angkat bahu. “Tidak tahu. Tapi hutan tu memang sunyi dan misteri.”

    Malam itu, aku cuba tidur awal, tapi suara-suara halus yang memanggil namaku masih menghantui telinga. Aku rasa seperti ada sesuatu yang menunggu aku di hutan itu.

    HILANG DI ANTARA DUA DUNIA

    Beberapa hari kemudian, perasaan aneh semakin kuat. Setiap kali aku melalui jalan hutan itu, suara-suara halus seperti memanggil aku, dan kali ini, aku mula merasa seakan-akan ada bayangan bergerak di tepi-tepi kereta.

    Satu malam, ketika aku sudah hampir tiba di selekoh tajam, kereta aku tiba-tiba mati.

    Jalan itu sangat sunyi, tiada kereta lain, dan hutan di sekeliling aku kelihatan gelap dan menyeramkan.

    Aku cuba hidupkan semula enjin, tapi tak berhasil. Tiba-tiba, aku terdengar bunyi yang sangat halus, seolah-olah suara kanak-kanak yang ketawa di dalam hutan.

    “Amir… Amir…” suara itu kembali.

    Dalam ketakutan, aku keluar dari kereta dan memandang ke arah hutan. “Siapa di sana?” aku berteriak.

    Tiba-tiba, aku ternampak cahaya kecil yang berkelip-kelip di antara pokok-pokok hutan.

    Cahaya itu seakan-akan menari, mengajak aku untuk mengikutinya. Aku tahu, aku tak sepatutnya ikut. Tapi entah kenapa, kaki aku bergerak sendiri menuju ke arah cahaya itu.

    Makin lama aku berjalan ke dalam hutan, semakin jauh aku meninggalkan kereta. Suara halus itu makin jelas, seakan-akan menggoda aku untuk terus maju.

    Sampai satu ketika, aku mula terasa ada sesuatu yang menakutkan. Hutan di sekelilingku berubah — seakan-akan dunia lain dan suasana bertukar jadi kabur.

    DUNIA BUNIAN

    Tiba-tiba, semuanya berubah. Suasana di sekeliling aku bukan lagi hutan biasa. Pohon-pohon yang ada seakan-akan lebih tinggi, lebih tua dan tempat itu kelihatan seperti diambil dari cerita dongeng.

    Di depan aku, muncul sebuah kampung kecil, dikelilingi oleh cahaya samar-samar.

    Orang-orang di kampung itu… bukan seperti manusia biasa. Wajah mereka terlalu cantik, terlalu sempurna, tapi ada sesuatu yang aneh. Mata mereka… mata mereka tak pernah berkedip.

    “Apa ni?” aku berbisik sendirian, menahan debaran jantung yang semakin laju.

    Seorang wanita cantik berpakaian serba putih menghampiriku. Dia tersenyum, tapi senyumannya terasa kosong.

    “Selamat datang, Amir. Kami dah lama tunggu kau,” ujar wanita itu.

    “Apa ni? Siapa kau orang? Di mana aku?” Aku bertanya, cuba untuk melangkah mundur, tapi tubuhku terasa berat.

    Wanita itu hanya ketawa kecil. “Ini dunia kami. Dunia yang kau tak patut masuk, tapi kini kau di sini. Kau salah melangkah.”

    Aku rasa seperti terperangkap. “Aku mahu pulang!”

    Wanita itu menggeleng. “Pulang? Kau sudah milik kami sekarang. Dunia ini tak sama dengan dunia yang kau tinggalkan. Di sini, masa bergerak berbeza, dan pintu untuk keluar hanya dibuka apabila kami izinkan.”

    CUBA KEMBALI

    Aku mula panik. Suara-suara halus yang aku dengar sebelum ini semakin kuat, datang dari pelbagai arah. Aku cuba lari, tapi kaki aku seolah-olah terikat. Penduduk kampung aneh itu mula menghampiri, memandang aku dengan mata yang tidak berkedip. Mereka berbisik dalam bahasa yang aku tak faham, dan setiap kali aku cuba bergerak, dunia di sekeliling aku berubah-ubah.

    “Aku tak patut ikut cahaya tu… Aku tak patut masuk ke sini,” bisikku, separuh menyesal.

    Wanita itu menghampiriku sekali lagi. “Kau dah buat keputusan, Amir. Kini, kau perlu ikut peraturan kami.”

    Tapi dalam hati, aku masih mahu kembali. Aku tak mahu terperangkap di sini. Dengan sisa kekuatan yang aku ada, aku mula mencari jalan keluar.

    Aku teringatkan satu cerita lama yang pernah aku dengar — bahawa jika kita tersesat dalam dunia bunian, kita mesti mencari pintu keluar sebelum fajar menyingsing, atau kita akan terperangkap selama-lamanya.

    Matahari hampir terbit, dan aku tahu, aku tidak punya banyak masa.

    ANTARA HIDUP DAN MATI

    Dengan segala keberanian, aku lari sekuat hati, walaupun tanah di bawah kaki seolah-olah menghalang. Suara-suara bisikan makin kuat, dan mereka mula mengejar aku. Cahaya-cahaya kecil yang tadi menggoda, kini cuba menghentikan aku. Aku terus berlari, mencari jalan keluar.

    Ketika aku hampir putus asa, aku melihat satu celah kecil di antara pepohonan, seperti pintu yang terbuka. Aku tak fikir panjang lagi. Dengan segala kudrat yang ada, aku melompat ke arah celah itu.

    Tiba-tiba, semuanya jadi gelap.

    KEMBALI KE DUNIA NYATA

    Aku terjaga di tepi jalan, di sebelah kereta aku yang kini berfungsi semula. Nafasku tercungap-cungap, badan basah dengan peluh. Aku memandang sekeliling dan jalan hutan itu kembali seperti biasa.

    Tiada kampung aneh, tiada suara halus, tiada cahaya yang menari. Aku sudah kembali ke dunia nyata.

    Tapi walaupun aku sudah kembali, aku tahu aku takkan pernah sama lagi.

    Pengalaman di dunia bunian itu mengubah aku, dan aku tahu, pintu antara dunia kami dan dunia mereka sentiasa terbuka… menunggu masa untuk membawa orang lain masuk.

    Dan kini, setiap kali aku lalu di jalan itu, aku boleh rasakan mata-mata mereka masih memandang dari dalam hutan, menanti masa yang sesuai untuk menarik mangsa seterusnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda