Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    ‘Ditelan mati emak diluah mati bapa’

    BIREUEN – Bot kayu yang sudah rapuh dan goyah membawa pelarian Rohingya mendekati pantai barat Indonesia dan beberapa orang lelaki berenang ke pantai untuk merayu agar kapal itu dibenarkan berlabuh selepas berminggu-minggu perjalanan di laut.

    Namun, seruan lelaki-lelaki itu dan beberapa di antara mereka rebah ke pasir akibat keletihan tidak dihiraukan.

    Masyarakat tempatan dua kali menghalang kapal yang penuh dengan 256 orang pelarian Rohingya daripada berlabuh sebelum akhirnya sampai ke pantai pada Ahad lalu.

    “Saya berasa sedih, kerana mereka manusia. Tetapi apa yang boleh kita lakukan?” kata nelayan Aceh, Aswadi, 53 tahun.

    Lebih kurang 800 Rohingya telah tiba di wilayah Aceh Indonesia dengan menaiki sekurang-kurangnya lima kapal dalam tempoh seminggu yang lepas.

    Lebih 800 Rohingya telah tiba dengan sekurang-kurangnya lima buah bot. – AFP
    Keadaan salah sebuah bot yang membawa pelarian Rohingya ke Batee dan Laweung pada 14 November dan 15 November 2023. – AFP
    Pelarian Rohingya yang baru tiba terkandas di atas bot kerana tidak membenarkan mereka mendarat di wilayah Aceh pada 16 November 2023. – AFP

    Lebih daripada sejuta Rohingya telah melarikan diri dari Myanmar sejak tahun 1990an, kebanyakan selepas serangan tentera pada tahun 2017 yang kini menjadi subjek siasatan genosid Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

    Kebanyakan mereka menetap di kem Bangladesh.

    Tetapi kebanyakan daripada mereka juga telah mencuba melakukan perjalanan lebih daripada 4,000 kilometer (km) ke Malaysia dan itu memberi dorongan kepada operasi penyeludupan manusia bernilai jutaan dolar yang sering melibatkan perhentian di Indonesia.

    Lebih daripada 100,000 Rohingya tinggal di Malaysia yang majoritinya beragama Islam.
    Gelombang kedatangan terkini bertepatan dengan berakhirnya musim ribut di kawasan itu sehingga membolehkan bot berlepas dari Bangladesh.

    Walaupun pelarian dalam bot itu ditolak tetapi pada akhirnya dibenarkan berlabuh, status mereka di Aceh masih belum dipastikan dan penduduk tempatan berkata mereka masih boleh memaksa pelarian tersebut untuk kembali ke laut.

    Ramai orang Aceh mempunyai kenangan konflik berdarah selama beberapa dekad dan telah lama bersimpati dengan penderitaan pelarian Muslim sesama mereka.

    Tetapi sesetengah orang berkata kesabaran mereka telah diuji, mendakwa Rohingya menggunakan sumber yang terhad dan kadang-kadang terlibat dalam konflik dengan penduduk tempatan.

    Terdapat juga kebimbangan untuk menjejaki pendatang baharu, yang kadangkala melarikan diri dari pusat perlindungan untuk diseludup ke Malaysia kerana kehidupan di sana lebih mewah.

    Beberapa Rohingya dituduh bekerja untuk rangkaian penyeludupan manusia yang membawa pelarian Rohingya ke Malaysia, yang lebih mencetuskan lagi ketegangan dengan penduduk Aceh.

    “Bukan kami tidak peduli tentang kemanusiaan, tetapi mereka itu kadang-kadang melarikan diri. Kami takut perkara buruk akan berlaku,” kata ketua kampung di utara Aceh, Rahmat Kartolo.

    Sebahagian daripada komuniti nelayan Aceh berkata mereka menyangka mereka membantu pelarian dengan membawa mereka kembali ke laut.

    “Biarkan mereka belayar ke tempat yang selamat. Tempat ini tidak bagus. Tidak ada makanan,” kata Nurlelawati, 61.

    “Kami mahu membantu tetapi kami tidak boleh.”

    Penduduk tempatan membawa beras, mee dan air kepada Rohingya di kampung pertama di mana mereka cuba berlabuh.

    Tetapi penduduk menolak pelarian itu kerana mereka telah ‘menyebabkan gangguan’ sebelum ini, kata ketua kampung Mukhtaruddin, 55 tahun.

    “Nombor satu, tiada tempat. Nombor dua, disebabkan tingkah laku Rohingya,” katanya.
    Menghantar pelarian kembali ke laut boleh menyebabkan kematian.

    UNHCR menganggarkan hampir 200 Rohingya mati atau hilang tahun lalu ketika cuba menyeberangi laut yang berbahaya.

    Sebelum gelombang kedatangan terkini, Indonesia hanya menerima kira-kira 1,000 Rohingya, menurut agensi pelarian PBB (UNHCR).

    Agensi bantuan telah merayu kepada Jakarta untuk menerima lebih banyak lagi, tetapi Indonesia bukan penandatangan Konvensyen Pelarian PBB dan mengatakan ia tidak dipaksa untuk menerima pelarian dari Myanmar, dengan mengadu bahawa negara jiran telah menutup pintu mereka.

    Beberapa Rohingya yang menetap melaporkan diterima dengan baik oleh penduduk tempatan.

    “Kami gembira di sini. Orang Aceh pada masa itu membantu dengan makanan, pakaian,” kata Hasimullah, bapa dua orang anak, yang tiba pada Disember tahun lalu.

    Hasimullah adalah seorang petani di Myanmar tetapi terpaksa melarikan diri ke Bangladesh.

    “Kami selalu berdepan dengan keganasan daripada penganut Buddha. Ditembak, dibunuh, rumah kami dibakar. Itulah sebabnya kami melarikan diri,” kata lelaki berusia 39 tahun itu.

    UNHCR hanya mempunyai enam tempat perlindungan sementara di sekitar Aceh untuk menangani kedatangan.

    “Kami sangat berharap bahawa atas nama kemanusiaan, rakyat dapat diberikan perlindungan,” kata pegawai UNHCR, Faisal Rahman.

    Bahkan beberapa orang daripada mereka yang menganggap mereka membantu pelarian dengan menolak mereka mengakui rasa bersalah.

    “Ada orang yang sakit, warga tua. Kanak-kanak kecil di laut. Semua orang menangis melihat mereka pergi. Saya tidak tahu apa yang hendak dikatakan,” kata Nurlelawati.

    “Orang-orang itu meminta pertolongan kita.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...