Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    DJ Lin sedia berhijab penuh

    Tampil dengan imej baharu, penyampai radio Suria FM iaitu DJ Lin mengesahkan dirinya kini sudah berhijab penuh.

    Kata DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid, 48, beberapa kejadian yang berlaku baru-baru ini membuatkan dia tersedar dan mula terbuka hati untuk bertudung.

    “Saya rasa apa yang terjadi dalam kehidupan saya, terutamanya selepas mak saya meninggal dunia dan ditambah pula dengan kehilangan abang kandung saya, itu yang betul-betul membuatkan saya tersentak.

    “Iyalah saya fikir makin lama umur kita semakin meningkat dan umur saya pun dah masuk 48 tahun.

    “Abang pertama saya meninggal dunia pada umur 51 tahun. Jadi saya rasa mungkin kali ini Allah nak berikan saya kesedaran agar saya berubah demi kebaikan,” katanya kepada mStar.

    DJ Lin akui kini hidupnya rasa lebih tenang. – Agensi

    DJ Lin berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Melakar Pahala Warnai Raya bersama Suria FM yang diadakan di Hotel Eastin, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

    Dalam pada itu, DJ Lin juga memberitahu dia sudah lama terfikir untuk menutup aurat, namun masih tidak berjaya melakukannya.

    Bagaimanapun sewaktu mengerjakan umrah pada Mac lalu, dia mula berasa selesa mengenakan hijab dan mengambil keputusan untuk terus menutup aurat sepenuhnya.

    “Sebenarnya sudah beberapa kali saya terfikir untuk menutup aurat sepenuhnya, tetapi tak tahu kenapa lambat untuk saya buat keputusan ini.

    “Di sana saya rasa sangat tenang. Tak ada rasa panas. Kalau ikutkan waktu itu di Mekah sangat panas dengan jutaan jemaah mengerjakan umrah.

    “Walaupun kita dengan tudung labuh, berjubah dan memakai stokin tangan, tapi saya rasa sangat selesa,” ujarnya.

    Mengulas lanjut tentang penghijrahannya itu, DJ Lin berkongsi anak-anaknya antara individu yang paling gembira apabila mendapat tahu dia kini sudah berhijab.

    Kata DJ Lin, anak-anak sentiasa berdoa dan mengharapkan dirinya berubah untuk menutup aurat sepenuhnya.

    “Untuk pengetahuan, anak-anak saya sendiri dah lama mengharapkan ibunya ini bertudung. Jadi saya rasa mungkin inilah yang patut saya lakukan.” – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda