MELBOURNE, 24 JAN – Novak Djokovic berkata hari ini ada kemungkinan dia akan bermain untuk kali terakhir di Terbuka Australia selepas menarik diri akibat kecederaan otot pada separuh akhir yang meninggalkan harapannya untuk merangkul kejuaraan Grand Slam ke-25 berkecai.
Bahagian kaki kiri pemain berusia 37 tahun itu sekali lagi dibalut selepas mengalami kecederaan pada suku akhir dan pemain Serbia itu menarik diri selepas tewas set pertama 7-6 (7/5) kepada Alexander Zverev.
Djokovic meninggalkan gelanggang dengan pelbagai ejekan dan tepukan ketika lawannya mara ke final Melbourne yang pertama. “Ada peluang. Siapa tahu,” kata Djokovic.
“Saya hanya perlu melihat bagaimana musim ini berakhir. Saya mahu meneruskannya. Tetapi sama ada saya akan mempunyai jadual permainan atau tidak untuk tahun depan, saya tidak pasti.
“Saya suka datang ke Australia untuk bermain tenis. Saya mempunyai kejayaan terbesar dalam kerjaya di sini. Jadi jika saya cergas, sihat, bermotivasi, tiada sebab bagi saya untuk tidak datang,” katanya.
Djokovic kini telah terlepas lima Grand Slam tanpa memenangi gelaran yang diperlukannya untuk mengatasi 24 kejuaraan Margaret Court dan menjadi pendahulu sepanjang masa. – AFP