Monday, October 21, 2024
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Djokovic rayu Nadal tangguh persaraan

    RIYADH, 20 OKT – Novak Djokovic merayu kepada seteru lamanya, Rafael Nadal agar menangguhkan rancangan untuk bersara selepas menewaskan bintang Sepanyol itu dalam perlawanan persahabatan yang mungkin menjadi pertemuan terakhir antara kedua-dua pemain itu, kelmarin.

    “Jangan tinggalkan tenis, sahabat,” kata Djokovic selepas menewaskan Nadal 6-2, 7-6 (7/5) dalam acara persahabatan Six Kings Slam di Arab Saudi.

    Djokovic mengakui bahawa persaingan mereka selama bertahun-tahun sangat sengit dan berharap suatu hari nanti mereka dapat ‘bersantai di pantai’ dan menikmati minuman bersama.

    Nadal, 38, sebelum ini mengumumkan bahawa dia akan bersara selepas Piala Davis di Malaga bulan depan.

    Namun, dalam acara di Riyadh itu, penganjur menyatakan perlawanan tersebut mungkin merupakan perlawanan tunggal terakhir Nadal sebagai pemain profesional.

    Nadal menerima raket tenis emas daripada Pengerusi Penguasa Hiburan Am Arab Saudi, Turki al-Sheikh selepas memenangi tempat ketiga dalam kejohanan berkenaan di Riyadh, baru-baru ini. – AFP

    Nadal turut menyatakan pada Khamis bahawa dia masih belum pasti sama ada boleh beraksi dalam perlawanan perseorangan di Malaga akibat masalah kecergasan.

    Djokovic dan Nadal dua daripada Big Three dalam dunia tenis bersama Roger Federer telah bertemu sebanyak 60 kali dalam jelajah utama sebelum perlawanan pertunjukkan tersebut semalam dengan Djokovic mendahului 31-29 dalam rekod pertemuan.

    Pertemuan terakhir mereka berlangsung semasa Sukan Olimpik Paris di gelanggang yang sama di Roland Garros, di mana Nadal memenangi 14 gelaran Terbuka Perancis, namun, dalam perlawanan tersebut, Djokovic dengan mudah menewaskan Nadal dengan keputusan 6-1, 6-4.

    Djokovic telah mengumpul 24 gelaran Grand Slam sepanjang kariernya, dua gelaran lebih banyak berbanding Nadal.

    Dalam perlawanan kelmarin, kebanyakannya lebih berpihak kepada Djokovic, dengan Nadal melakukan beberapa kesilapan, di mana Djokovic akhirnya berjaya menamatkan set pertama dalam masa hanya 31 minit. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda