LONDON, 30 MAC – Novak Djokovic mempamerkan aksi dominan untuk mara ke final Terbuka Miami selepas menewaskan Grigor Dimitrov dalam straight set, selangkah lagi untuk meraih gelaran juara ke-100 dalam kerjayanya.
Juara Grand Slam 24 kali itu hanya memerlukan 69 minit untuk mencatat kemenangan 6-2, 6-3 ke atas pemain Bulgaria itu pada Jumaat, lapor PA Media/dpa.
Djokovic, 37, kini memburu gelaran ke-100, kejuaraan ketujuh di Florida dan yang pertama sejak bekerjasama dengan Andy Murray sebagai jurulatihnya.
Walaupun kehilangan servis pertama, Djokovic menguasai set pertama dalam hanya 30 minit dengan hanya melakukan dua kesilapan sendiri.
Beliau terus mendominasi set kedua – hanya gagal enam kali dalam servis pertama sepanjang perlawanan – sekali gus menempah slot ke final kelapan di Miami dan yang pertama sejak Shanghai pada Oktober.
Bercakap kepada Sky Sports selepas kemenangan separuh akhirnya, Djokovic berkata, “Ia satu perasaan yang hebat. Saya tidak menyangka saya akan memperbaiki peratusan servis pertama dari perlawanan sebelum ini, tetapi saya berjaya dan itu sangat membantu di gelanggang.
“Ia perlawanan yang sukar kerana angin berputar dan tidak konsisten, tetapi saya belum kalah satu set pun dalam kejohanan ini dan saya rasa ini adalah prestasi terbaik saya sejak Olimpik tahun lepas.”
Djokovic meraih gelaran juara pertamanya di Miami pada 2007 ketika berusia 19 tahun, dan pada Ahad ini, beliau akan bersaing untuk menambah koleksi ke-100 menentang sama ada Jakub Mensik atau Taylor Fritz. – Bernama
