Thursday, July 4, 2024
22.7 C
Brunei

    -

    Doa Kesyukuran raikan puja usia ke-41

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Sempena memperingati Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ke-41 Tahun, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) petang tadi mengadakan Majlis Doa Kesyukuran di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan di sini.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik selaku Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan berkenan berangkat ke majlis tersebut.

    Menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof selaku ahli-ahli Jemaah Tadbir Yayasan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan dan Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan diikuti dengan bacaan Doa Kesyukuran Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia ke-41 Tahun yang dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustapa bin Haji Awang Murat sebelum sembahyang Fardu Asar berjemaah.

    Kemudian, majlis juga menyaksikan Duli Yang Teramat Mulia berkenan memotong kek puja usia dan menerima pesambah daripada Yayasan.

    Duli Yang Teramat Mulia diputerakan pada 30 Jun 1983 dan telah dilantik menjadi Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan pada 1 Mac 2013.

    Dalam menerajui pucuk pimpinan tertinggi di Yayasan, Duli Yang Teramat Mulia sangat prihatin terhadap pengurusan dan perkembangan Yayasan.

    Duli Yang Teramat Mulia juga sering berkenan mempengerusikan mesyuarat jemaah tadbir, meninjau dan melibatkan diri dalam apa jua projek dan aktiviti yang diusahakan dan dianjurkan Yayasan.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan dijunjung bergambar ramai. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan dijunjung berangkat bagi Sembahyang Fardhu Asar berjemaah. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat ke Majlis Doa Kesyukuran sempena Memperingati Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia ke-41, di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan dijunjung bagi memotong kek puja usia. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menerima pesambah. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat bagi santap petang. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Banjir landa China, ribuan dipindah

    BEIJING, 3 JULAI – Hampir suku juta penduduk terpaksa dipindahkan di timur China ketika hujan lebat melanda sebahagian besar wilayah negara, menyebabkan Sungai Yangtze...