Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Doa Selamat bagi tiga pegawai ditugaskan ke Mindanao

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Tiga pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang dipimpin oleh Komander Md Zouhdy bin Haji Abdul Razak, TLDB bertolak ke Mindanao, Filipina, hari ini, sebagai anggota Kontinjen Independent Decommissioning Body Verification, Monitoring and Assistance Team 5/2023 (IDB VMAT 5/2023) yang akan memantau proses decommissioning anggota dan senjata kepunyaan Moro Islamic Liberation Front (MILF).

    Sebelum pasukan berkenaan bertolak, Majlis Doa Selamat telah diadakan di Surau Ad-Difa’, Bolkiah Garison.

    Hadir selaku kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.

    Turut hadir ialah pemangku setiausaha tetap, pemerintah-pemerintah angkatan tentera, timbalan setiausaha tetap, pengarah-pengarah, komandan-komandan, pegawai-pegawai kanan tentera dan awam serta pegawai-pegawai dan anggota-anggota dari Kementerian Pertahanan dan ABDB.

    Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah, Tadarus Al-Quran, Surah Yasin dan Asmaul Husna yang diketuai oleh 1156 Kapten Mohd Nasyrul Wafiy bin Haji Mahdini dan diselajurkan dengan tazkirah yang disampaikan oleh 1123 Kapten Abdul Mu’iz Azizi bin Zulkifli.

    Majlis tersebut kemudian diteruskan dengan penyampaian buku-buku Khutbah Perwira dan Panduan Kembara Perajurit yang diserahkan kepada kontinjen.

    Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat bagi memohon keselamatan, sembahyang Sunat Duha dan seterusnya sesi bergambar ramai.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bersama warga Kementerian Pertahanan dan ABDB pada Majlis Doa Selamat bagi pasukan IDB VMAT 5/2023 yang akan bertolak ke Mindanao. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda