Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Doa Selamat untuk bakal jemaah haji

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Seramai 86 orang bakal jemaah haji dari Kementerian Pendidikan menghadiri Majlis Doa Kesyukuran dan Doa Selamat Bakal Jemaah Haji 1445/2024 yang berlangsung di Dewan Utama, Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah setiausaha-setiausaha tetap, naib-naib canselor, rektor, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan serta kakitangan Kementerian Pendidikan.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Pelajaran Kanan, Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan, Kementerian Pendidikan, Haji Rozaidi bin Haji Mohd Daud.

    Majlis kemudian menyaksikan Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menyempurnakan penyampaian sumbangan derma kepada bakal-bakal jemaah haji.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian ceramah bertajuk Lambaian Tanah Suci, yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin.

    Majlis yang dikendalikan oleh Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan, Bahagian Komunikasi Korporat dan Pusat Keusahawanan Inovasi, Kementerian Pendidikan itu diadakan bagi memohon keberkatan daripada Allah SWT supaya semua bakal jemaah haji Kementerian Pendidikan akan mendapat perlindungan, keselamatan, dipermudahkan segala urusan serta sentiasa dalam keadaan sihat dan memperoleh haji yang mabrur.

    Majlis itu bertujuan untuk meningkatkan semangat beramal-ibadat dan sikap pemedulian khasnya dalam kalangan warga Kementerian Pendidikan.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan semasa hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah semasa menyampaikan sumbangan derma kepada salah seorang bakal jemaah haji. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...