Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Tantangan, peluang dalam transformasi penjagaan kesihatan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Landskap penjagaan kesihatan sedang melalui perubahan yang tidak pernah berlaku sebelum ini di mana kemajuan teknologi, peralihan demografi dan jangkaan pesakit yang berubah, membentuk semula kaedah penyampaian penjagaan yang memerlukan penyesuaian cepat dan efektif untuk sentiasa berada di hadapan.

    “Daripada integrasi kecerdasan buatan dan teleperubatan kepada permintaan yang semakin meningkat untuk perubatan peribadi dan pencegahan penjagaan, kadar inovasi berterusan dan keupayaan kita untuk memanfaatkan kemajuan ini akan menentukan kejayaan kepimpinan kita.”

    Di samping itu, industri penjagaan kesihatan juga berhadapan dengan pelbagai tekanan di mana kekangan kewangan, kerumitan pengawalseliaan dan kekurangan tenaga kerja merupakan antara cabaran yang perlu dipertimbangkan oleh para pemimpin.

    Mengimbangi keperluan untuk menyediakan penjagaan berkualiti tinggi dengan keperluan untuk mengawal kos dan mengemudi birokrasi bukanlah tugas yang kecil di mana ia memerlukan pemimpin yang bukan sahaja berwawasan tetapi juga pragmatik, bijak dan berdaya tahan.

    Perkara itu ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam ucapannya semasa perasmian Program Eksekutif Kepimpinan Penjagaan Kesihatan (HLEP) yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bergambar ramai semasa program berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Para jemputan yang menghadiri program tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Pada masa yang sama, tambah Yang Berhormat Dato, komponen manusia intrinsik kepada kepimpinan penjagaan kesihatan tidak boleh terlepas pandang di mana menjaga pesakit, memupuk pasukan penjagaan kesihatan serta budaya kolaborasi dan belas kasihan menjadi keutamaan.

    “Sebagai pemimpin, kita harus menghadapi cabaran-cabaran berkenaan, menerajui inisiatif-inisiatif yang mengutamakan kesejahteraan pesakit serta bekerja tanpa henti untuk menjana persekitaran di mana semua pihak boleh maju.

    “Di sebalik cabaran-cabaran berkenaan, terdapat pelbagai peluang bagi inovasi, kolaborasi dan transformasi. Sebagai pemimpin penjagaan kesihatan, kita mempunyai keistimewaan dan tanggungjawab untuk membentuk masa depan penjagaan kesihatan dengan membayangkan semula sistem, berjuang untuk perubahan dan memperkasakan petugas barisan hadapan untuk menyampaikan penjagaan optimum,” tekan Yang Berhormat Dato.

    Ke arah itu, beliau menyatakan program kepimpinan penjagaan kesihatan dibangunkan untuk memberikan para peserta peralatan, makumat dan pengetahuan yang diperlukan untuk mengemudi dengan kompeten, cabaran-cabaran rumit penjagaan kesihatan moden dengan yakin serta belas kasihan.

    “Ia dihasratkan untuk memberikan para peserta kemahiran yang diperlukan dan membawa kepada sebuah generasi pemimpin baharu yang akan mempengaruhi masa depan penjagaan kesihatan.”

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...