Monday, February 3, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Doncic pindah ke Lakers

    LOS ANGELES, 2 FEB – Dallas Mavericks menghantar pengawal utama Luka Doncic ke Los Angeles Lakers untuk mendapatkan pemain Anthony Davis dalam pertukaran tiga pasukan NBA, seperti yang dilaporkan oleh ESPN kelmarin.

    Perjanjian itu akan menyaksikan bintang Slovenia, Doncic, pemain berusia 25 tahun yang telah lima kali dipilih sebagai All-Star dan membawa Mavericks ke Final NBA musim lalu, bergabung dengan superstar berusia 40 tahun, LeBron James, di Los Angeles.

    Kehadiran Doncic memberikan Lakers seorang pewaris kepada James pada masa akan datang, sementara ESPN memetik pengurus besar Mavericks, Nico Harrison, sebagai berkata pemerolehan Davis memberikan Dallas benteng pertahanan yang sangat diperlukan.

    “Saya percaya pertahanan memenangi kejohanan,” kata Harrison kepada ESPN mengenai motivasi pertukaran itu.

    “Saya percaya mendapatkan seorang pemain tengah dengan pertahanan kukuh dan pemain All-NBA yang berfikiran defensif memberikan kami peluang yang lebih baik. Kami dipersiap untuk menang sekarang dan pada masa hadapan.”

    Luka Doncic dari Dallas Mavericks memberi reaksi semasa perlawanan menentang Golden State Warriors di Chase Center pada 15 Disember 2024 di San Francisco, California. – AFP

    ESPN melaporkan bahawa Mavericks juga akan memperoleh pengawal Max Christie dan pilihan pemain pusingan pertama 2029, manakala Lakers juga akan menerima Maxi Kleber dan Markieff Morris.

    Utah Jazz, pasukan ketiga dalam perjanjian itu, akan memperoleh pengawal Lakers, Jalen Hood-Schifino.

    Laporan mengenai pertukaran tersebut muncul sejurus selepas Lakers dengan Davis diketepikan akibat kecederaan otot abdomen menewaskan Knicks 128-112 di New York.

    “Menurut individu dalam bilik persalinan Lakers yang tidak dibenarkan bercakap secara terbuka, pertukaran ini amat mengejutkan,” lapor Los Angeles Times.

    “Perjanjian ini berlaku secara senyap-senyap,” kata Shams Charania, wartawan ESPN yang pertama kali melaporkan berita itu, semasa membincangkan pertukaran itu di rangkaian tersebut.

    “LeBron James tidak tahu ini akan berlaku. Anthony Davis tidak tahu ia akan berlaku. Saya diberitahu bahawa Luka Doncic masih terkejut dengan pertukaran ini.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda