Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Sebanyak 133 dos pertama vaksin COVID telah diberikan kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, kelmarin, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian vaksin dos pertama kepada 34,074 dos iaitu 79.4 peratus bagi kanak-kanak di dalam kumpulan umur itu.
Manakala, sebanyak 831 dos kedua vaksin COVID telah diberikan kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, menjadikan jumlah dos kedua yang diberikan kepada kanak-kanak di dalam kumpulan umur tersebut kepada 18,053 dos iaitu 42.1 peratus.
Maklumat tersebut telah dikongsikan oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku wakil menteri kesihatan semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
“Dalam pada itu, liputan bagi rakyat dan penduduk negara ini yang telah mendapatkan tiga dos vaksin ialah 70 peratus,” jelas Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua.
Beliau seterusnya menjelaskan bahawa sebanyak 222 kes baharu jangkitan COVID telah dilaporkan pada hari ini yang mana kesemuanya adalah hasil daripada ujian ART.
“Sebanyak 333 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu dan kesemuanya telah disahkan negatif COVID-19,” jelas Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi.
Oleh itu, jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam setakat ini ialah 147,493 kes.
Menurut beliau lagi, tidak ada kes yang dikategorikan dalam kategori 5 yakni mereka yang memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU) dan tidak ada kes sedang berada di kategori 4 yakni mereka yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.
“Sebanyak 267 kes telah disahkan sembuh yang membawa jumlah kes yang sembuh kepada 145,694 kes,” katanya.
Jumlah kes aktif pula ialah sebanyak 1,576 kes iaitu enam kes sedang dirawat di hospital manakala 1,570 kes sedang menjalani pengasingan diri di rumah.
Di sidang media tersebut, Yang Berhormat Pehin mengumumkan bahawa satu kes COVID telah meninggal dunia dalam masa 24 jam yang lalu, di mana kes tersebut tidak dikategorikan sebagai kematian disebabkan COVID.
Di kesempatan itu, Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama para salehin,” katanya.
Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Pehin menyeru kepada orang ramai untuk meneruskan melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing dalam norma baru supaya kita akan dapat terus mengawal penularan COVID di negara ini.