Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Dos penggalak sebulan lepas sembuh COVID

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mac – Individu yang sembuh daripada COVID dan belum mengambil dos penggalak, mereka dibenarkan untuk mengambilnya dalam tempoh kira-kira sebulan hingga tiga bulan selepas dijangkiti.

    “Tempoh-tempoh tersebut ditetapkan disebabkan mereka sudah memiliki imuniti semula jadi setelah dijangkiti maka untuk menguatkan lagi tahap imuniti itu perlunya pengambilan dos penggalak,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa menjawab pertanyaan media mengenai waktu sesuai individu yang dijangkiti COVID yang belum mengambil dos penggalak untuk mengambil dos ketiga.

    Semasa sidang media di Dewan Al-’Afiah di Kementerian Kesihatan, hari ini, Yang Berhormat Dato berkata individu berkenaan tidak disarankan untuk mengambil dos penggalak terlalu awal kerana dikhuatiri adanya kesan sampingan tertentu sehingga sukar mengenal pasti penyebabnya sama ada ia disebabkan jangkitan atau pun suntikan tersebut.

    Semasa menjawab pertanyaan mengenai ujian PCR bagi individu dijangkiti COVID, Yang Berhormat Dato berkata pesakit yang sudah sembuh daripada COVID tidak digalakkan untuk melakukan ujian PCR dalam tempoh tiga bulan disebabkan kemungkinan shedding of virus yang masih berada dalam paru-paru dapat dikesan serta-merta namun tidak semestinya ia mampu menjangkiti.

    Dengan melakukan ujian PCR itu, ia mampu mengesan apa sahaja partikel virus maka adalah tidak disarankan mereka yang telah sembuh daripada jangkitan untuk melakukan ujian tersebut dalam tempoh masa tertentu tetapi hanya digalakkan menggunakan kit ART.

    “Menyentuh mengenai ujian ART, jika positif kebiasaannya mengandungi CT value di bawah 25 mengikut jenis kit ART tersebut,” jelasnya.

    Yang Berhormat Dato turut menambah jika mereka dari luar negara tiba di tanah air dan pernah dijangkiti sebelumnya maka dikehendaki untuk melakukan ujian ART sahaja. Namun hanya diarahkan untuk membuat ujian PCR jika didapati positif menerusi ujian ART tersebut.

    Walaupun individu yang pernah dijangkiti itu kemungkinan untuk dijangkiti dalam masa tiga bulan itu sangat rendah tetapi kemungkinannya tidak mustahil. Tapi kebiasaannya mengikut beberapa kajian dari luar negara mendapati dalam masa tiga bulan itu imuniti seseorang dijangkiti ditambah dengan suntikan vaksin dan pengambilan dos penggalak berkemungkinan mereka berada pada tahap sangat rendah untuk dijangkiti bagi kali kedua dalam masa tiga bulan.

    “Perlu diketahui bahawa penggunaan ujian ART itu sebagai salah satu langkah untuk memastikan sama ada diri dijangkiti oleh varian lain,” tekannya lagi.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...