LABUAN, 4 MEI – Dewan Perniagaan Labuan (DPL) memuji langkah penubuhan jawatankuasa membabitkan kerajaan Persekutuan dan Sarawak berkaitan penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan Sarawak baru-baru ini.
Pengerusi, Daniel Doughty berkata tindakan itu adalah keputusan tepat oleh kerajaan Sarawak.
“Kami memuji usaha kerajaan Sarawak untuk menuntut semula Pelabuhan Bintulu dan melihatnya sebagai langkah tepat untuk Sarawak,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata dengan penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan Sarawak tidak lama lagi, penting untuk pihak berkaitan di Labuan mengawal had pelabuhannya dengan mewujudkan Akta Lembaga Pelabuhan Labuan.
“Had Pelabuhan Labuan dan pelabuhannya adalah komponen penting bagi ekonomi Labuan, menggaji sejumlah besar penduduk serta menjana hasil yang banyak untuk kerajaan tempatan.
“Dewan Perniagaan Labuan percaya pewujudan Akta Lembaga Pelabuhan Labuan adalah cara terbaik untuk memastikan pelabuhan ini terus beroperasi dengan lancar dan cekap, memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan pelabuhan, ekonomi tempatan dan komuniti Labuan,” katanya.
Daniel berkata pihaknya menggesa Kementerian Pengangkutan (MOT) mengambil tindakan berdasarkan pengalaman apabila Pelabuhan Bintulu berjaya dikembalikan kepada kerajaan Sarawak, sekali gus mewujudkan jawatankuasa secara sejajar untuk bekerja ke arah pewujudan Akta Lembaga Pelabuhan Labuan.
Berlandaskan akta itu, rangka kerja undang-undang dapat disediakan untuk pelabuhan beroperasi secara bebas selain melindungi fungsi lembaga sebagai badan berkanun dan badan kawal selia pelabuhan bagi mengelakkan kekosongan undang-undang dan sebarang gangguan operasi yang tidak terjamin, katanya.
Beliau menggesa MOT bertindak untuk mewujudkan Akta Lembaga Pelabuhan Labuan secepat mungkin, memandangkan perkembangan positif mengenai Pelabuhan Bintulu baru-baru ini hanya meningkatkan keperluan untuk mewujudkan akta itu. – Bernama