Thursday, January 30, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    DPMM FC benam Kota Ranger

    Oleh Fadhil Yunus –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – DPMM FC mencatat kemenangan ke-12 berturut-turut dalam Liga Super Brunei 2024/2025 dengan jaringan 6-1 menentang Kota Ranger FC di Stadium Mini Jerudong Park, kelmarin.

    Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim turut beraksi sebagai kapten pasukan.

    Keputusan itu membantu mereka mendahului dua mata daripada penyandang juara bertahan, Kasuka FC, di puncak liga.

    Kedua-dua pasukan akan bertanding bagi penentuan gelaran Ahad ini.

    Tuan rumah mencatatkan peluang pertama permainan akan tetapi usaha Sergio Mendiguchia Iglesias yang menerima hantaran Abdul Azizi Ali Rahman telah berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Kota Ranger, Mohammad Hendra Putera Idris.

    DPMM FC mencatat kemenangan ke-12 berturut-turut dalam Liga Super Brunei 2024/2025 menentang Kota Ranger FC di Stadium Mini Jerudong Park, baru-baru ini. – GAMBAR IHSAN INFOFOTO
    Aksi pemain DPMM FC semasa melakukan rembatan ke arah gawang pasukan lawan pada perlawanan itu. – GAMBAR IHSAN INFOFOTO

    Pertahanan Kota Ranger seolah-olah leka dengan beberapa serangan yang dilakukan oleh penyerang Sepanyol itu dan akhirnya membawa padah apabila dia menjaringkan golnya yang ke-30 dalam kempen cemerlangnya pada minit ke-14.

    Penjaring gol utama liga itu berada dalam kedudukan terbaik apabila melepaskan rembatan dari jarak dekat selepas menerima hantaran silang daripada Azwan Ali Rahman tiga minit kemudian.

    Di tengah-tengah permukaan padang yang licin akibat hujan lebat, Sergio mempamerkan kemahirannya melepasi benteng pertahanan sebelum melakukan penyudah untuk melengkapkan hatrik pada minit ke-25.

    Bagaimanapun, Kota Ranger berjaya memperoleh gol saguhati melalui Awangku Muhammad Hazmi Pengiran Salleh

    Pasukan tuan rumah kembali meredakan tekanan lawan apabila Abdul Azizi Ali Rahman menjadikan kedudukan 4-1 seminit sebelum rehat.

    Muhd Haziq Naqiuddin Syamra dari DPMM FC turut menjaringkan gol pada minit ke-58 selepas muncul sebagai pemain gantian.

    Sergio menambah gol keempat untuk rekod peribadinya pada malam itu dengan jaringan enam minit sebelum tamat permainan, dengan menamatkan satu lagi prestasi hebat dalam usaha mereka untuk memburu kejuaraan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda