Oleh Fadhil Yunus –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – DPMM FC mengalami kekalahan ketiga berturut-turut dalam Liga Perdana Singapura (SPL) selepas tewas 3-0 kepada pasukan tercorot, Tanjong Pagar United FC, di Stadium Jurong East di Singapura, malam ini.
Pasukan yang berpangkalan di Brunei itu jatuh ke tangga kelapan dalam carta liga, selepas memulakan tahun baharu di kedudukan keenam.
The Jaguars mempamerkan persembahan yang baik dan mencatatkan perlawanan tanpa bolos pertama sejak Mac 2023 dan kemenangan terbesar mereka sejak menewaskan Young Lions 8-1 pada Oktober 2022.
Derita pasukan Brunei itu semakin parah apabila mereka dibolosi menerusi penyerang Tanjong Pagar, Syahadat Masnawi, yang membantu pasukannya mendahului 1-0 pada minit ke-21.
Pasukan tuan rumah mencuba nasib dari jarak jauh dengan Zenivio melakukan percubaan di tepi kotak penalti akan tetapi berjaya diselamatkan oleh penjaga gol DPMM FC, Kristijan Naumovski.
Pasukan pelawat berdepan masalah besar selepas Farshad Noor mengalami kecederaan di mana Azwan Saleh terpaksa menggantikan tempatnya di bahagian tengah.
DPMM FC berusaha untuk bangkit mencari gol penyamaan selepas Davis Ikaunieks melakukan rembatan akan tetapi terkena palang hasil hantaran lintang Azwan Ali Rahman.
Pasukan DPMM FC berjaya mencari peluang apabila Miguel Oliveira merembat tepat ke arah penjaga gol Tanjong Pagar, Matt Silva, sebelum rembatan Azwan Ali terkena pemain pertahanan untuk tendangan sudut.
Penyerang Tanjong Pagar, Salif Cisse, yang terlepas daripada perangkap ofsaid meneruskan larian dan kemudiannya melakukan cip yang hebat menewaskan Kristijan untuk jaringan kedua pasukannya.
Bahagian pertahanan DPMM FC sekali lagi dikucar-kacirkan apabila pemain gantian, Izrafil Yusof, melakar aksi terakhir persembahan cemerlang dengan penyudah yang kemas.