Sunday, May 11, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    DPS lancar MarineM

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Sebagai sebahagian daripada usaha untuk membantu Negara Brunei Darussalam mencapai aspirasi menjadi sebuah negara pintar, Darussalam Pilotage Services Sdn Bhd (DPS) melancarkan MarineM, sebuah penyelesaian digital yang dibina untuk mengurus penyampaian operasi marin DPS digital hujung-ke-hujung.

    Sehubungan itu, pelancaran sistem tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi) dan Pengerusi DPS, Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid pada majlis yang berlangsung di Cruise Ship Centre, Pelabuhan Muara, hari ini.

    Pengurus Besar DPS, Kapten (B) Zil Husam bin Abdul Rahman dalam kata alu-aluannya menjelaskan projek sistem MarineM bermula pada Disember 2021 untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada klien dan pihak-pihak yang berkepentingan melalui transformasi semua proses kertas kepada proses digital hujung-ke-hujung.

    Beliau menerangkan projek itu bermatlamat untuk menyediakan usaha bersepadu dalam mencapai aspirasi pihak berkepentingan utama daripada Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, iaitu untuk menggunakan teknologi digital sebagai satu kaedah untuk mentransformasikan norma baharu perkhidmatan panduan dan tundaan selaras dengan visi Negara Brunei Darussalam untuk menjadi sebuah negara pintar.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Innovez One Pte Ltd, David Teo dalam kata alu-aluannya menyatakan sistem operasi marin menyediakan portal sesawang yang mudah untuk digunakan oleh pelanggan DPS di mana para ejen boleh mendaftar ketibaan dan pelepasan kapal dengan mudah.

    Ia juga merupakan sebuah sistem yang akan mengesahkan penyerahan ejen secara automatik untuk mengelakkan konflik serta memperkasakan integriti data.

    Ketepatan data, jelasnya adalah amat penting bagi sistem digital khususnya bagi sistem operasi marin di mana data yang baik bererti pelanggan DPS boleh mendapatkan perkhidmatan tepat pada masanya serta peringatan dengan masa yang mencukupi dalam keadaan yang luar biasa.

    Pengenalan MarineM dihasratkan untuk membantu mengoptimumkan perkhidmatan marin mustahak bagi kapal-kapal yang tiba dan berlepas di laluan laut Brunei melalui langkah-langkah yang cekap dan teliti.

    Dato Seri Paduka Haji Khairuddin semasa menyempurnakan pelancaran pada majlis yang berlangsung di Cruise Ship Centre, Pelabuhan Muara, kelmarin.
    Dato Seri Paduka Haji Khairuddin diberikan penerangan mengenai sistem operasi marin DPS yang dilancarkan pada majlis berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda