Wednesday, April 2, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua gol Mbappe selamatkan Madrid

    BARCELONA, 30 MAC – Kylian Mbappe menjaringkan dua gol ketika Real Madrid bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Leganes 3-2 semalam, sekali gus menyamakan mata dengan pendahulu La Liga, Barcelona.

    Skuad kendalian Carlo Ancelotti meraih kemenangan dalam aksi mendebarkan di Santiago Bernabeu, memberikan tekanan kepada musuh tradisi mereka, Barcelona, yang akan berdepan Girona dalam derbi Catalan pada Ahad.

    Mbappe membuka jaringan menerusi sepakan penalti, namun Leganes yang sedang bergelut di zon penyingkiran berjaya bangkit dengan gol daripada Diego Garcia dan Dani Raba sebelum rehat.

    Jude Bellingham menyamakan kedudukan sejurus babak kedua bermula sebelum Mbappe mengesahkan kemenangan dengan sepakan percuma yang cantik untuk memastikan tiga mata buat juara bertahan.

    Barcelona dan Real Madrid kini enam mata di hadapan Atletico Madrid, yang sekadar seri menentang Espanyol dalam perlawanan lebih awal.

    Aksi Kylian Mbappe selepas menyempurnakan sepakan penalti untuk menjaringkan gol pertama menentang Club Deportivo Leganes SAD di Stadium Santiago Bernabeu, Madrid, semalam. – AFP

    “Mbappe benar-benar membuat perbezaan dan itu yang kami mahukan daripadanya,” kata jurulatih Madrid, Carlo Ancelotti.

    Dua gol Mbappe menjadikan jumlah keseluruhannya musim ini kepada 33 gol dalam 44 perlawanan di semua pertandingan, menyamai rekod Cristiano Ronaldo dalam musim pertamanya bersama Real Madrid pada 2009-10.

    “Ia sesuatu yang sangat istimewa untuk menyamai jumlah jaringan Cristiano adalah satu pencapaian yang hebat,” kata Mbappe kepada Real Madrid TV.

    “Kami tahu dia amat bermakna buat Real Madrid dan diri saya. Kami selalu berbual, dia banyak memberi nasihat kepada saya. Tetapi yang paling penting, kami perlu memenangi trofi di sini.”

    Ancelotti meletakkan Vinicius Junior dan Rodrygo Goes di bangku simpanan selepas mereka beraksi bersama Brazil pada Selasa, sekali gus memberikan peluang kepada Mbappe untuk bergandingan dengan Brahim Diaz di barisan serangan.

    Madrid mendahului selepas dianugerahkan penalti kontroversi apabila Oscar Rodriguez dikatakan mengasari Arda Guler. Mbappe menyempurnakan sepakan dengan gaya Panenka untuk memberikan kelebihan kepada Los Blancos. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda