Penyanyi Yazmin Aziz meluahkan rasa gembira dan bangga apabila diberi peluang membuat persembahan di hadapan Presiden Filipina iaitu Ferdinand Marcos Jr dalam sebuah acara di ibu negara itu baru-baru ini.
Di sebalik perasaan itu, Yazmin, 22, berkata, dia juga berasa gementar apabila dirinya menyanyikan lagu berjudul Bituing Walang Ningning nyanyian asal Sharon Cuneta atas permintaan isteri Marcos sendiri iaitu Louise Araneta.
“Pada awalnya saya dipanggil pihak kedutaan Filipina untuk membuat persembahan. Tak sangka ia adalah pentas utama di hadapan presiden.
“Saya memang teruja tapi bayangkan saya diminta menyanyikan lagu kegemaran first lady. Saya hanya sempat hafal lagu itu dalam tempoh dua hari!,” katanya ketika dihubungi mStar.
Yazmin dijemput membuat persembahan pada acara makan malam anjuran kedutaan negara itu di sebuah hotel pada Selasa sempena lawatan rasmi Ferdinand ke Kuala Lumpur.
Ini bukan pertama kali Yazmin diberi peluang sebegini kerana dia pernah tampil menghiburkan presiden Rodrigo Duterte sempena lawatan kerja di KL pada 2016. – Agensi