Selepas terkait kontroversi pemerdagangan seks, dua buah kediaman penyanyi rap, Sean ‘Diddy’ Combs dilaporkan telah digeledah pihak berkuasa.
Menurut mStar yang memetik laporan People, sewaktu serbuan dibuat, dua anak lelaki penyanyi tersebut ditahan iaitu Justin dan King Combs.
Kedua-dua anak Diddy digari di luar kediaman bapa mereka di Los Angeles, Amerika Syarikat bersama seorang lelaki yang tidak dikenali.
Suspek dilaporkan diiringi oleh ejen bersenjata yang kelihatan sedang menyoal siasat.
Bagaimanapun, penglibatan mereka dalam skandal penyanyi tersebut masih lagi belum disahkan oleh pihak berkuasa.
Pada Februari lalu, penerbit dan komposer, Rodney ‘Lil Rod’ Jones memfailkan saman selepas mendakwa Diddy melakukan serangan seksual terhadapnya.
Jones mendakwa Diddy membuat serangan seksual tanpa kerelaannya selain memaksanya melakukan hubungan dengan pekerja seks.
Penerbit itu juga mendakwa dia tinggal bersama Diddy sejak September 2022 sehingga November 2023 dan sepanjang tempoh itu dia sering menjadi mangsa gangguan seksual artis berkenaan.
Jones juga mendakwa mempunyai bukti iaitu rakaman audio dan video melibatkan aktiviti mereka.
Tidak hanya itu, Jones mendakwa dia pernah diraba secara berterusan tanpa kerelaan selain terpaksa bekerja di dalam bilik air ketika Diddy sedang berbogel.
Akibat kejadian itu, Jones meminta ganti rugi sebanyak AS$30 bilion.
Diddy dalam satu kenyataan menyangkal semua tuduhan tersebut. – Agensi