Sunday, December 1, 2024
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua lagi produk kosmetik dicemari bahan terlarang

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Dua produk kosmetik, Rissa Skin-Skin Moisturiser dan Collagen Plus Vit E-Day and Night Cream telah dikesan dicemari bahan terlarang yang tidak diisytiharkan.

    Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, hasil ujian makmal dijalankan oleh Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Makmal Saintifik, mendapati kedua-dua produk itu dicemari oleh tretinoin dan merkuri yang boleh membawa kesan mudarat dan membahayakan kesihatan.

    Tretinoin adalah bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit dan ia dilarang sebagai bahan di dalam produk kosmetik penjagaan kulit di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007.

    Penggunaan tretinoin tanpa nasihat doktor boleh menyebabkan kulit yang disapu menjadi kemerahan, mengelupas dan parut pada kulit.

    Sementara itu, merkuri adalah bahan yang dilarang dalam produk kosmetik seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 kerana memudaratkan kesihatan. Tahap tinggi merkuri atau pendedahan yang kerap boleh mengakibatkan kulit kebas, sakit kepala, ruam, perubahan warna kulit serta kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

    Anak damit dan kanak-kanak kecil boleh terdedah dengan kesan sampingan daripada pengguna dan boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau anak damit yang belum dilahirkan.

    Sehubungan itu, kementerian menasihatkan orang ramai agar tidak menggunakan produk tersebut dan jika ada yang telah menggunakannya, dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta-merta.

    Kementerian Kesihatan menyatakan, penjualan produk sama ada di dalam talian seperti melalui Facebook dan sebagainya, adalah menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi $5,000, penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    ATAS & BAWAH: Dua produk kosmetik yang mengandungi treitnoin dan merkuri. – Gambar serahan Kem. Kesihatan.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda