Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua pelajar wakili negara ke ISYF 2023

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JAN – Dua orang pelajar dan seorang pegawai pendidikan telah berlepas meninggalkan Negara Brunei Darussalam, petang tadi, bagi menyertai Forum Belia Sains Antarabangsa ke-15 (ISYF 2023) yang akan bermula esok hingga 19 Januari di Hwa Chong Institution, Republik Singapura.

    Penyertaan mereka dalam forum anjuran Hwa Chong Institution (College Section) dan disokong oleh Kementerian Pendidikan, Republik Singapura itu telah diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan melalui Pusat Perkembangan Pendidikan Cerdas Pintar dan Berbakat (EDGE).

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) bagi mengucapkan selamat belayar ialah Ketua EDGE, Dr Mona Aliana binti Dato Paduka Haji Mohd Alimin.

    Pelajar yang mewakili negara ialah Awangku Mohammad Raihaan Zeyad bin Pengiran Haji Mohammad Amirul Sarni, yang merupakan pelajar Tingkatan Enam Atas Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan dan Awangku Muhammad Asfer Nazif Iman bin Pengiran Asmali, pelajar Tahun 12, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS).

    Sementara itu, mengiringi selaku guru pengiring dan mentor kepada pelajar berkenaan ialah Awang Muhammad Fauzan bin Awang Damit dari Sekolah Menengah Lambak Kiri.

    Gambar ramai rombongan bersama Dr Mona Aliana semasa berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kelmarin.
    Awangku Mohammad Raihaan Zeyad semasa ditemui pihak media.

    Forum yang bertemakan Reconnect, Reimagining: Looking Ahead to a Better World itu merupakan forum tahunan yang bertujuan untuk menyediakan landasan bagi pelajar-pelajar yang berumur 16 dan 17 tahun untuk berinteraksi dengan penerima anugerah Nobel dan saintis terkemuka dalam bidang sains.

    Selain itu, para peserta juga berpeluang menyertai aktiviti dan sesi seperti Cabaran Projek Berpasukan, Amazing Tour, sesi-sesi dialog dan Masterclass, Cultural Hour and Exhibition dan Pameran Poster.

    Wakil pelajar Negara Brunei Darussalam juga akan berkongsi cadangan projek mereka bertajuk Rubbish Rewards System semasa sesi Pameran Poster.

    Forum juga diadakan untuk memperkaya dan meningkatkan kecekapan pedagogi guru melalui perbincangan dan perkongsian idea serta amalan profesional dalam kalangan para guru dari negara peserta lain serta meningkatkan hubungan rapat dan kerjasama antara pendidik pada masa hadapan.

    Pada masa yang sama, Awang Muhammad Fauzan juga akan terlibat dalam sesi kongsi sama guru, di mana beliau akan menyampaikan pembentangan bertajuk Teaching in Times of COVID: A Retrospective.

    Ketika ditemui di LTAB, Awangku Mohammad Raihaan Zeyad memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT dan seterusnya mengucapkan penghargaan kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kementerian Pendidikan khususnya EDGE atas peluang yang telah diberikan kepadanya.

    “Kami berharap program ini akan mendedahkan kami dengan pelbagai bidang sains yang akan meluaskan pandangan dan pemahaman kami tentang dunia sains.

    “Selain itu, program ini juga memberikan peluang untuk berkenalan dengan penuntut dari luar negara serta mengenali budaya mereka.

    “Antara tarikan terbesar forum ini adalah berjumpa dan berdialog dengan beberapa saintis terkemuka dunia yang pernah memenangi anugerah Nobel dalam pelbagai bidang,” tambah beliau.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda