Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Kelab Bola Sepak Angkatan Kampung Setia (AKSE) Bersatu telah mengadakan majlis penandatanganan kontrak bagi dua pemain import baharu yang diadakan di Pejabat HiTune di Bangunan PA Siti Rafeah di Kampung Mata-Mata malam tadi.
Vouzon Christ Max Junior dari Ivory Coast dan Kelvin Kudus Momoh dari Nigeria telah menandatangani perjanjian yang akan menyaksikan mereka mewakili kelab itu dalam Liga Super Brunei 2023.
Kudus semasa majlis penandatanganan tersebut berkata, “Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengurusan pasukan dan presiden yang mengalu-alukan saya ke dalam pasukan ini.
“Jangkaan saya agak mudah, berikan 100 peratus kepada pasukan. Saya bukan sahaja di sini untuk menjadi sebahagian daripada pasukan tetapi untuk menjadi juara,” ujarnya.
Beliau menambah, “Saya akan memberikan yang terbaik dan Insya Allah pada penghujung musim, AKSE Bersatu akan dinobatkan sebagai juara.”
Sementara itu, Vouzon menyuarakan pandangan yang sama dengan rakan sepasukan baharunya itu untuk memenangi kejuaraan liga yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Kudus, yang bermain sebagai pemain pertahanan, sebelum ini bermain dalam divisiyen kedua Myanmar bagi kelab seperti Mawyawadi FC, Sagaing United dan Rakhine United sebelum menghabiskan masa di India dengan Balgopal Talim.
Vouzon, yang bermain sebagai penyerang, juga telah bermain untuk kelab-kelab di Republik Demokratik Congo dan Niger.
Jurulatih AKSE Bersatu, Rosanan Samak, juga menyatakan harapannya agar Kudus menjadi benteng pertahanan yang kukuh dan Max memberikan kekuatan di bahagian serangan.
Kedua-duanya menyertai pemain Nigeria Abdul Fattah @ Babatunde Abiodun Fatai dan Malone Bian Andrew dari Sarawak sebagai barisan pemain import kelab pada musim ini.
Terdahulu, Pengarah Urusan AKSE Bersatu, Awang Mohd Faisal bin Haji Lamat menyampaikan ucapan terima kasih kepada Kumpulan Syarikat HiTune atas sumbangan besar mereka dan tanpa jemu memberikan sokongan kepada kelab itu.