Oleh Nurdiyanah R.
Gambar serahan Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik
BELAIT, 31 OKT – Dua buah premis perniagaan telah dikenakan kompaun $500 semasa pemeriksaan bersepadu bulanan atas kesalahan menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan kesalahan tidak memaparkan tanda harga dengan jelas.
Pemeriksaan tersebut dijalankan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna dengan kerjasama Unit Sukatan dan Timbangan
(SDT), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi di pasar aneka Kuala Belait dan premis-premis perniagaan di Daerah Belait, hari ini.
Selain itu, satu notis amaran juga telah dikeluarkan kepada sebuah syarikat perniagaan atas kesalahan menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan bagi beberapa produk minyak masak dan susu tepung anak damit.
Manakala, pihak Unit SDT telah mengeluarkan satu notis penyitaan ke atas pemilik alat sukat dan timbang iaitu bagi kesalahan mansuh pendaftaran dan alat berkenaan turut dirampas selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983, Penggal 151, Peraturan-peraturan Penelitian 1994 Bab 3 (1) dan (2). Dua notis peringatan juga diberikan ke atas syarikat yang gagal mempamerkan tanda berat bersih ke atas produk-produk berbungkus.
Kenyataan turut menyatakan bahawa para peniaga yang menjalankan aktiviti jualan di pasar ikan dan sayur telah diarahkan untuk sentiasa memaparkan tanda harga pada barang-barang yang dijual bagi memupuk ketelusan harga dan memberi pilihan kepada pengguna.
Selain itu, tatacara membungkus dan menimbang berat bersih produk-produk dengan betul turut dikongsikan kepada pihak pengurusan dan pekerja-pekerja pembungkus di premis-premis perniagaan semasa pemeriksaan tersebut.
Sehubungan itu, pihak JPES dan Unit SDT menasihatkan para peniaga agar sentiasa peka dan mematuhi undang-undang yang sedia ada.
Ini adalah penting bagi membantu dalam mewujudkan amalan perniagaan yang wajar dan beretika untuk menyumbang kepada penggunaan domestik yang berdaya tahan dan mampan.